KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen pembangkang diminta supaya memberikan fokus kepada gerak kerja untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.
Mereka sepatutnya berlaku ihsan kepada rakyat yang ketika ini dihimpit pelbagai masalah, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.
Beliau berkata, rakyat ketika ini sangat tertekan dan terbeban dengan impak wabak Covid-19, kemelesetan ekonomi, kejatuhan harga minyak dunia, hilang peluang pekerjaan dan terpaksa bergadai harta benda demi kelangsungan hidup.
“Berlaku ihsanlah kepada rakyat agar kerajaan dan Perdana Menteri dapat memberi fokus kepada agenda rakyat, bukan agenda politik peribadi sesetengah pihak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Shahir berkata, dalam keadaan hari ini, rakyat mahukan pemimpin yang mampu menerajui negara ketika krisis Perdana Menteri beserta jemaah menteri Perikatan Nasional terbukti berjaya menangani krisis dengan bijaksana dan berhemah
Ujarnya, di saat negara berkemungkinan akan menghadapi gelombang baru wabak Covid-19, mengapa segelintir ahli politik Pakatan Harapan seolah-olah rakus mendambakan kuasa tanpa memikirkan implikasi kepada rakyat dalam situasi genting semasa.
“Masa yang diberikan selama 22 bulan mereka (Pakatan Harapan) memerintah Malaysia telah dipersia-siakan dengan janji harapan palsu yang ditabur.
“Masa kalian semua telah tamat di saat Perdana Menteri Pakatan Harapan meletak jawatan dan meranapkan kerajaan Pakatan Harapan itu sendiri.
“Kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan demi kelangsungan pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.
Dalam pada itu Shahir menegaskan, rakyat tidak seharusnya dibebankan dengan percakaran dalaman parti politik, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kini berpecah kepada dua kem.
Katanya, perpecahan itu juga bakal menjadi titik bersejarah dalam sidang Parlimen akan datang kerana Pengerusi dan Presiden parti berada di pihak kerajaan dan pembangkang.
“DPIM menyeru pihak yang bercakaran, termasuklah anak muda PPBM, Armada, agar tidak bergaduh isu dalaman rumah tangga sendiri secara terbuka kerana rakyat sudah muak dan mual dengan keadaan percakaran politik Pakatan Harapan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
Kala rakyat terutamanya orang melayu tak nampak ph dan pemimpin2 mereka macam mana tak tahu lah.