Federico Chiesa

LONDON – Keinginan tinggi Manchester United untuk mendapatkan bintang muda sensasi, Federico Chiesa semakin menjadi kenyataan, lapor Daily Mail.

Ini kerana Fiorentina sebagai pemilik pemain sayap itu sedia melepaskan Chiesa pada musim panas nanti.

United pula dipercayai akan mencari pemain sayap kanan baru kerana pengurus, Ole Gunnar Solskjaer ketika ini kekurangan pemain di posisi itu dan berharap akan membawa beberapa pemain berkualiti untuk mengharungi cabaran musim depan.

Satu nama yang sering dikaitkan ke Old Trafford adalah Chiesa yang berusia 22 tahun dan telah menunjukkan persembahan memukau di Fiorentina sehingga Solskjaer berminat untuk menandatanganinya.

Fiorentina sendiri tidak menolak kemungkinan untuk menjual pemain sayap itu musim panas depan.

Hal itu telah didedahkan oleh Pengarah, Fiorentina Rocco Commisso.

“Kami telah mengadakan pertemuan dengan mereka (United) sebelum Krismas tahun lalu,” kata Rocco Commisso kepada Radio Bruno Toscana.

Commisso mengatakan bahawa pasukannya sebenarnya enggan melepaskan Chiesa yang merupakan salah satu pemain muda terbaik mereka.

Tetapi mereka siap melepaskannya jika pemain sayap itu benar-benar ingin meninggalkan La Viola.

Menurut laporan, Chiesa akan menjadi pilihan kedua United musim panas ini kerana Red Devils dipercayai masih mengutamakan perpindahan Jadon Sancho. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast