Fred

LONDON – Pemain tengah Manchester United, Fred berkongsi pengalaman ketika hadir ke Old Trafford dua tahun lalu.

Pemain kelahiran Brazil itu mengakui dia berdepan musim pertama di Liga Perdana Inggeris adalah amat sukar sekali.

Malah ketika itu katanya, dia turut menyambut kelahiran anak pertama yang menambah tekanan kepada dirinya.

“Jadi saya melihat perkara sebegitu adalah penyebab mengapa aksi saya dibawah tahap sebenar kerana bercampur aduk. Namun kini situasi itu telah berubah. Saya berjaya mendapatkan keyakinan kembali dan memperbaiki setiap aspek,” katanya kepada SkySports.

Fred juga diajukan soalan tentang tawaran dari dua pengurus hebat Pep Guardiola dan Jose Mourinho sewaktu dia masih mewakili Shakhtar Donestk.

“Ya, saya amat teruja dan gembira selepas mendapat tahu pengurus-pengurus hebat ini memberikan tumpuan untuk membawa saya ke pasukan mereka.

“Guardiola adalah pengurus yang hebat, tetapi saya membuat keputusan menyertai seorang lagi pengurus hebat Jose Mourinho.

Jika difikirkan ia sangat sukar kerana anda berada dalam persaingan antara mereka berdua. Adalah amat penting buat saya dan mungkin juga kepada mana-mana pemain sekalipun untuk membuat pilihan waktu itu.

“Seperti keputusan yang dipilih akhirnya memberi anda kegembiraan dan pasti pilihan saya tepat di sini iaitu Manchester United,” katanya.

Fred yang dibeli United pada harga £52 juta antara pemain yang paling meningkat naik musim ini. – MalaysiaGazette