KUALA LUMPUR – Sejak kerajaan membuat pengumuman kelonggaran serta pembukaan hampir kesemua sektor demi kelangsungan ekonomi negara, rakyat di negara ini pula mula teruja.
Masing-masing seolah-olah sudah lupa dengan bahaya pandemik Covid-19 yang ketika ini sudah meragut lebih 217,017 nyawa seluruh dunia termasuk 107 mangsa di negara ini.
Malah kes positif Covid-19 juga kini sudah menghampiri angka 4 juta secara global dengan Amerika Syarikat (AS) berada di tangga teratas sebanyak 1,292879 kes dengan kematian di negara itu sebanyak 76,942 kes.
Sungguh mengejutkan dan mengecewakan apabila ramai rakyat khasnya tempatan memilih untuk buat tidak endah sahaja penularan pandemik tanpa vaksin ini dengan meneruskan kehidupan seperti biasa seperti dahulu.
Walaupun kebanyakan kelihatan kini sudah terbiasa dengan peraturan memakai topeng muka namun peraturan-peraturan lain tidak pula dipatuhi terutamanya penjarakan sosial.
MalaysiaGazette yang berkesempatan menyertai operasi mengejut oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Wilayah Persekutuan di sebuah pusat beli-belah terkenal di Jalan Ampang hari ini terkejut dengan sikap rata-rata masyarakat.
JTK melakukan operasi untuk memastikan premis-premis perniagaan ini mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutamanya selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Namun pemerhatian MalaysiaGazette mendapati kelonggaran yang diberikan menerusi PKPB ini dikhuatiri diambil kesempatan oleh rakyat untuk melanggar SOP digariskan kerajaan.
Sebagai contoh, kebanyakan premis makan yang mula membenarkan pelanggannya dine in kelihatan gagal mematuhi penjarakan sosial selain kebanyakan meja-meja diletakan kurang dari satu meter.
Walaupun ada kedai yang kecil, namun meja-meja diletakkan secara berdekatan supaya membolehkan ‘lebih ramai’ dapat duduk makan.
Ada juga premis seperti kafe jenama antarabangsa juga membiarkan sahaja para pelanggannya untuk duduk secara berdekatan sebelum di tegur oleh penguatkuasa JTK sebentar tadi.
Seorang penguat kuasa juga memaklumkan kepada penulis bagaimana jenama antarabangsa juga tidak endah janji kedai mereka kembali beroperasi tanpa langsung mempedulikan
“Sedih tengok perangai seperti rakyat kita, tidak kira pemilik premis, pekerja mahupun pelanggan, semuanya seperti sudah lupa. Yang jenama besar-besar ini juga langsung tidak kisah sampai kita tegur atau tampal notis amaran,” katanya.
Juga ada kedai seperti menjual buah-buahan serta makanan berbungkus lain tetapi tidak pula mengawal jumlah orang masuk membeli sebaliknya membiarkan sahaja pelanggan berpusu-pusu.
Kelihatan juga pemandangan yang mana pelanggan membelek-belek buah-buahan tersebut sebelum membeli, walaupun ada cecair pembasmi kuman namun tidak semua menggunakannya sepenuhnya.
Lebih memeranjatkan, pasar raya yang menjual keperluan asas dalam pusat beli belah terkemuka itu juga tidak patuhi arahan dan SOP.
Malah pelanggannya diberikan kebebasan untuk membeli belah selama mana mereka suka dan tidak meletakan jumlah bilangan masuk ke dalam premis itu.
Menurut Pengarah JTK KL, Rahmat Ismail mengaku kecewa dengan keadaan itu lebih-lebih lagi ketika PKPB kerana kebanyakan rakyat tidak begitu kisah dengan penularan Covid-19.
Kata Rahmat, mungkin juga ada segelintir sudah lupa mengapakah kerajaan mengumumkan PKP sejak Mac lepas kerana selepas sedikit kelonggaran serta pembukaan selain tren menurun kes positif Covid-19 namun nampaknya sudah ramai sudah tampak selesa.
“Kebanyakan kedai-kedai kita tengok tadi mereka letakan meja terlalu rapat, kebanyakan tidak patuhi, saya harap sangatlah supaya pelanggan juga patuh pada arahan.
“Jika meja hanya diletakkan untuk seorang sahaja, patuh sahaja. Ada juga ruang sempit atau meja sangat kecil. Kita lihat ada juga kedai tidak lagi had kemasukan ke dalam premis mereka.
“Kedai kecil tapi biar ramai masuk pula. Sepatutnya jelaskan kepada pelanggan berapakah jumlah boleh masuk dan sebagainya. Tapi ini tidak ada. Jadi ramai juga main serbu.
“Keadaan ini telah memaksa kita untuk tampal notis amaran kerana tidak mematuhi SOP. Kita harap pada pemeriksaan seterusnya, mereka akan patuh dengan lebih baik. Ketika ini keadaan sememangnya tidak memuaskan.
Jelasnya lagi, seandainya rakyat tidak patuh SOP, maka PKPB patut diperketatkan.
“Rakyat bertanggungjawab mematuhi SOP ditetapkan seperti dalam PKP. Dalam tempoh PKP ini, sebaiknya orang ramai patut duduk di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial serta menjaga kebersihan bagi membendung penularan Covid-19,” tegasnya.
Tambahnya lagi, sepatutnya majikan setelah dibenar beroperasi perlu tegas membuat kawalan saringan kesihatan terhadap semua pekerja yang dibenarkan bekerja.
“Majikan perlu tegas membuat penguatkuasaan seperti memeriksa suhu pekerja, memastikan pekerja memakai penutup mulut dan hidung serta melakukan sanitasi, itu mandatori tetapi buat masa ini masih ramai lagi ingkar atau tidak begitu kisah. –MalaysiaGazette
Tak apa laa..biar la naik semula rating jangkitan virus.. buka lagi byk2 sektor industri ya jemin..
Aku dh kata..pkra mcm ni akan terjadi,mcm la rakyat malaysia ni jnis yg ada kepatuhan 100% dgn arahan..
Sia2 dduk sebulan lbh berkurung di rmh