Gambar Hiasan. foto AFIQ RAZALI, 21 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan pasaraya diminta agar tidak mengambil undang-undang sendiri dengan menghalang orang ramai yang tidak memakai topeng muka untuk masuk ke premis mereka.

Ini kerana, tidak memakai topeng muka bukanlah satu kesalahan di bawah Akta 342, malah ia bukanlah satu perkara yang diwajibkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, meskipun ia bukan perkara wajib namun orang ramai digalakkan untuk berbuat demikian terutama ketika berada di tempat-tempat awam.

“Tak bolehlah tak boleh masuk halau keluar (jika tak pakai topeng muka)…terpaksalah balik rumah dulu.

“Tak boleh (tidak benar pelanggan masuk) sebab itu tidak termasuk dalam akta dan peraturan.” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri mencadangkan, agar pihak pasaraya menyediakan topeng muka untuk dibeli pelanggan yang tidak memakai alat muka pelindung itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan agar pelanggan tidak dipaksa untuk membeli sekotak, sebaliknya hanya sekadar yang diperlukan untuk dipakai bagi tujuan memasuki pasaraya tersebut.

“Kalau itulah yang diperlukan oleh supermarket walaupun itu bukanlah yang diperlukan perundangan.

“Undang-undang tak salah tapi boleh digalakkan. Tapi, jangan paksa orang beli sekotak pula, tujuannya untuk masuk saja, untuk membenarkan masuk, jangan paksa dan jangan berniaga pula,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri menegaskan, orang ramai yang mendapat kebenaran rentas negeri tidak dibenarkan untuk singgah ke mana-mana destinasi lain, selain meneruskan perjalanan sebagaimana yang mereka pohon dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, mereka tidak boleh menggunakan apa-apa alasan untuk ke tempat lain daripada yang telah dipohon seperti mahu singgah bebuka puasa atau sebagainya.

“Kalau dari Johor kena terus balik ke Kuala Lumpur, tak boleh melencong, untuk berbuka saya galakkan kepada penumpang bawa bekalan makanan dalam kereta,” katanya. – MalaysiaGazette