Pekerja buruh binaan warga asing beratur bagi membuat saringan Covid-19 yang dikelola oleh majikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Batai, Bukit Damansara. foto AFIQ RAZALI, 09 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Setelah kluster Pedas, Negeri Sembilan merekodkan 60 kes positif Covid-19 semalam, hari ini terdapat 28 lagi kes baharu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan kes keseluruhan bagi kluster itu kini 88 kes.

“Sehingga 9 Mei 2020 jam 12 tengah hari, seramai 28 kes baharu didapati positif Covid-19.

“Kes-kes positif kluster ini melibatkan 81 kes bukan warganegara iaitu 33 kes warga Nepal, 26 kes warga Bangladesh, 11 kes warga Indonesia dan 11 kes warga Myanmar,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan, hari ini.

Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan wujudnya satu lagi kluster di sebuah tapak pembinaan di Setia Alam, Shah Alam

Ia dikesan menjangkiti warga pekerja bukan warganegara.

“Kluster ini telah dikesan pada 6 Mei 2020, apabila menerima notifikasi dari sebuah hospital swasta.

“Hospital tersebut telah menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja-pekerja yang bakal kembali bertugas dan mendapati tiga kes disahkan positif Covid-19 daripada 5 orang pekerja yang telah disaring,” katanya lagi.

Ketiga-tiga kes positif tersebut merupakan warga Bangladesh yang berkongsi rumah yang sama dengan 18 orang lain.

Sehigga hari ini, kluster tapak pembinaan di Setia Alam itu mencatatkan 12 kes positif Covid-19 melibatkan warganegara Bangladesh.

Seramai 28 orang telah disaring dan sembilan kes negatif dan tujuh kes masih menunggu keputusan. – MalaysiaGazette