Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan bersetuju memberi peruntukan kepada Malaysia Debt Ventures (MDV) hingga RM100 juta bagi membiayai program pembiayaan Technology Start-up Funding Relief Facility (TSFRF) dalam usaha membantu syarikat-syarikat start-up teknologi yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Berdasarkan satu tinjauan yang dilaksanakan oleh MaGIC pada 4 April 2020, hampir 50% syarikat start-up memerlukan di antara RM500,000 sehingga RM1 juta untuk memastikan kelestarian perniagaan sepanjang tahun 2020.

TSFRF ini akan dilaksanakan oleh Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), salah sebuah agensi di bawah MOSTI bermula 15 Mei 2020 ini dengan menyediakan bantuan kewangan bagi menampung aliran tunai seterusnya mengekalkan kelangsungan operasi perniagaan syarikat-syarikat terpilih.

TSFRF ini adalah terbuka kepada semua syarikat start-up teknologi milik rakyat tempatan dan majoriti pendapatan dijana dalam negara.

Pakej rangsangan ini menawarkan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun tertakluk kepada semakan tahunan serta pengecualian bayaran fi guaman selain tiada fi dan kos tambahan yang harus ditanggung oleh pemohon.

Proses ini akan dibuat secara cepat dan mudah.

Maklumat lanjut mengenai TSFRF boleh diperolehi menerusi laman web MDV (www.mdv.com.my).

Dana RM100 juta ini akan diselaraskan bersama peruntukan yang telah disalurkan kepada agensi-agensi tech-funding di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) seperti MDV, CRADLE, MAVCAP, MTDC dan MaGIC sebelum ini dan
menjadikan jumlah terkini sebanyak RM315 juta.

Peruntukan ini disalurkan kepada syarikat-syarikat start-up dalam bentuk pinjaman, geran, inisiatif pembangunan kapasiti, sokongan operasi, akses kepada pasaran dan lain-lain lagi.

Cradle akan turut menawarkan program pembiayaan baharu berbentuk geran berjumlah RM26.5 juta yang akan bermula penghujung Mei 2020.

Program pembiayaan ini adalah khusus untuk permohonan baharu yang akan membantu membiayai syarikat start-up teknologi selepas mengambil kira isu serta cabaran yang dihadapi disebabkan Covid-19.

Manakala MAVCAP telah melancarkan dua program pembiayaan baharu iaitu Lunex (berjumlah AS$10 juta) yang memberi fokus kepada start-up fintech dan Asia Greentech Fund (AS$20 juta) dengan fokus kepada start-up teknologi hijau.

Sebuah program pembiayaan lain yang akan dipanggil SuperSeed Fund II dengan jumlah sebanyak AS$10 juta juga akan dilancarkan dalam tempoh masa terdekat.

Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) pula telah menjalankan kerjasama dengan syarikat gas dan minyak Serba Dinamik meliputi program pembiayaan sebanyak RM6 juta untuk membiayai syarikat digital yang berpotensi.

Selain itu, MTDC juga akan mengadakan kolaborasi dengan syarikat bagi pelaksanaan pembiayaan P2P berjumlah RM2 juta.

Menerusi MaGIC, inisiatif pembangunan kapasiti seperti Global Accelerator Programme (GAP) akan terus dilaksanakan oleh MaGIC bagi menyokong kemampanan start-up termasuk melaksanakan secara atas talian serta mengembangkan kerjasama dan penglibatan daripada start-up antarabangsa.

Selain itu, program bootcamp yang menyasarkan Deep Tech dan Emerging Tech akan turut dilancarkan bagi membimbing bakat tempatan bagi menghasilkan prototaip yang dapat menyelesaikan penyataan masalah berkaitan Covid-19 melalui teknologi seperti Machine Learning, Robotics, Nanotech dan Dronetech. – MalaysiaGazette