TEHRAN – Daerah barat daya Iran telah dikenakan sekatan perjalanan susulan kenaikan jumlah kes Covid-19 yang ketara.

Gabenor Khuzestan, Gholamreza Shariati, berkata, kes koronavirus di daerah itu meningkat semula ekoran kegagalan orang ramai mematuhi peraturan penjarakan sosial.

Khuzestan terletak di sempadan Iran dan termasuk dalam wilayah Abadan.

“Jumlah pesakit meningkat tiga kali ganda dan pesakit dirawat di hospital melonjak 60%,” ujarnya.

Susulan sekatan yang dilaksanakan, operasi bank dan pejabat di Abadan akan ditutup sehingga akhir minggu ini dan kemasukan di wilayah itu – sama ada dari utara dan timur ditutup.

Iran adalah salah sebuah negara Timur Tengah yang teruk dilanda Covid-19 tetapi telah mula melonggarkan sekatan dalam usaha mengerakkan semula ekonomi.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan telah memberi amaran bahawa kelonggaran perjalanan akan melonjakkan kes jangkitan.

Presiden Hassan Rouhani memaklumkan semalam sekolah akan dibuka pada minggu depan.

Tehran telah membenarkan solat Jumaat diadakan di 180 bandar Iran dan bandar-bandar kecil yang berisiko rendah untuk dijangkiti koronavirus setelah penangguhan selama dua bulan, lapor media negara.

Penyambungan semula solat Jumaat – masih dilarang di ibu kota Teheran dan beberapa bandar besar lain – menyusul pembukaan semula 132 masjid Isnin lalu di kawasan-kawasan yang bebas daripada virus.

Jangkitan koronavirus di Teheran masih meningkat, lapor agensi berita ISNA pada hari Ahad, memetik seorang pegawai tempatan. – MalaysiaGazette