Arkib: Seorang engunjung di sebuah pasaraya membawa seorang kanak-kanak yang tidak memakai penutup mulut dan hidung di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan membincangkan larangan untuk tidak membenarkan ibu bapa membawa kanak-kanak keluar ke tempat awam termasuk pusat beli-belah sekiranya ramai yang tidak mengambil berat mengenai perkara itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa sekarang larangan tersebut masih belum dimasukkan ke dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342)

“Anak-anak kita adalah tanggung jawab kita. Memang kerajaan belum lagi mengeluarkan sebarang larangan tetapi ibu bapa perlu menggunakan kawalan kendiri apakah selamat membawa anak-anak ke khalayak ramai, kawasan tertutup dan sebagainya.

“Kita akan bincang mengenai perkara ini dan jika nampak ramai ibu bapa yang tidak menghiraukan keselamatan anak-anak maka kerajaan boleh mengeluarkan perintah larangan.

“Setakat ini, kami masih berharap ibu-bapa bertanggung jawab,” katanya semasa sidang media hari ini.

Selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang lebih longgar berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan sebelum ini, ramai yang mengambil kesempatan untuk membawa anak-anak keluar bersiar-siar termasuk di tempat-tempat awam dan pusat beli-belah.

Terdapat premis perniagaan yang lebih bertanggung jawab melarang kanak-kanak untuk masuk tetapi ada juga yang tidak mengenakan sebarang peraturan sedemikian kerana ianya bukan undang-undang kerajaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia menyeru orang ramai supaya mengelakkan 3C iaitu confined space (tempat tertutup), crowded space (tempat sesak) dan close conversation (berbual dalam jarak yang rapat) bagi mengelakkan penularan wabak Covi-19.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast