Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk meneliti kebenaran operasi semula bagi golongan pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di Malaysia berdasarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertentu
amatlah dialu-alukan dan disambut dengan baik.

Baik sektor pendidikan milik kerajaan mahupun swasta, ketetapan SOP yang akan ditentukan nanti adalah bertepatan dengan matlamat bersama kita iaitu memerangi serta memutuskan rantaian wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Perkara ini juga setidak-tidaknya memberi keyakinan bagi golongan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat sewaktu dihantar ke Taska dan Tadika masing-masing.

Namun, adalah penting juga bagi kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pendidikan untuk mengambil tahu keperluan sektor pendidikan awal kanak-kanak secara menyeluruh, sekali gus memberi bantuan kepada mereka.

Pengerusi Koperasi Pendidikan Swasta Malaysia Berhad, Datuk R. Rajendran berkata, agensi-agensi kerajaan dan kementerian-kementerian wajar untuk campur tangan melihat faedah dan kelangsungan perniagaan yang berada di bawah bidang masing-masing dan bukannya sekadar menyediakan SOP semata-
mata.

“Ketika majoriti perniagaan dan syarikat sudah mula beroperasi, sekolah dan lain-lain institusi pendidikan pula harus menunggu lebih lama untuk memulakan perniagaan mereka lebih-lebih lagi terdapat kebimbangan laporan terkini yang mengatakan sektor pendidikan hanya akan dibuka selepas situasi Covid-19 di
negara ini benar-benar pulih,” katanya.

Tambah Rajendran, pengusaha Tadika dan Taska juga memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk memulakan semula perniagaan mereka seandainya Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan sepenuhnya kelak.

Terdapat banyak persediaan awal yang perlu diselesaikan oleh pemilik dan kakitangan premis sebelum mereka mula mengambil kanak-kanak dan pelajar.

Sebagai contoh, mereka perlu mendapat kebenaran daripada pejabat kesihatan daerah dan melakukan proses sanitasi terlebih dahulu.

”Selain itu, terdapat juga keperluan bagi membeli cecair pembasmi kuman, pencuci tangan serta penutup hidung dan mulut dalam kuantiti yang banyak memandangkan jumlah kegunaannya melibatkan bilangan yang ramai dan kegunaan secara harian,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Rajendran turut menyuarakan kebimbangan mewakili institusi-institusi pendidikan swasta berikutan kesukaran mendapatkan bantuan kewangan dari bank oleh kerana tiada pengkhususan kriteria diletakkan dalam mana-mana pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat untuk
mereka.

”Banyak keluhan dan rungutan yang kami terima berhubung isu tersebut. Jadi adalah wajar untuk kementerian berkaitan tampil menyelesaikan permasalahan ini dengan mewujudkan insentif atau skim bantuan khas tertentu agar sumber kewangan mereka dapat bertahan untuk jangka masa yang lebih lama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast