Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama lain-lain agensi mengarahkan sekumpulan warga asing untuk keluar dari rumah mereka bagi melakukan proses saringan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan penularan wabak Covid-19 di PJ Old Town, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI,12 MEI 2020

PUTRAJAYA – Sejumlah 1,211 orang warga asing yang disaring oleh Kementerian Kesihatan disahkan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu seramai 495 orang masih menerima rawatan di hospital dan empat kematian dicatatkan dalam kalangan warga asing.

Jumlah itu adalah hasil saringan terhadap 25,156 warga asing yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini.

“Setakat ini sebanyak 25,156 orang (warga asing) kita saring. Yang positif adalah 1,211 kes bersamaan 4.8 peratus.

“Daripada jumlah tersebut, dalam rawatan di hospital ada sejumlah 495 orang iaitu bersamaan 50.9 peratus. Manakala tiga kes sedang dirawat di ICU (unit rawatan rapi) bersamaan 0.6 peratus.

“Mereka yang telah pulih sepenuhnya adalah 712 kes bersamaan 58.8 peratus dan juga melibatkan empat kematian dalam kalangan bukan warga negara setakat ini,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini. – MalaysiaGazette