Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menyusut 4.9 peratus pada bulan Mac 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Penguncupan IPP pada bulan Mac 2020 disumbangkan oleh penurunan dalam kesemua indeks, iaitu indeks pembuatan (-4.2%), indeks perlombongan (-6.5%) dan indeks elektrik (-7.0%), kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Berdasarkan pertumbuhan tahun ke tahun, output sektor pembuatan menguncup 4.2 peratus pada bulan Mac 2020 selepas mencatatkan kenaikan 6.2 peratus pada bulan Februari 2020.

Subsektor utama yang menyumbang kepada kejatuhan sektor Pembuatan pada bulan Mac 2020 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (-5.0%), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (-9.8%) dan makanan, minuman dan tembakau (-9.9%).

Output sektor perlombongan menguncup 6.5 peratus pada bulan Mac 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan negatif itu disebabkan oleh penurunan dalam indeks gas asli (-6.0%) serta indeks minyak mentah dan kondensat (-7.1%).

Output sektor Elektrik menguncup 7.0 peratus pada bulan Mac 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

IPP bagi suku tahun pertama 2020 merekodkan pertumbuhan 0.4 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan positif ini disumbangkan oleh peningkatan 1.3 peratus dalam indeks pembuatan.

Sementara itu indeks elektrik dan indeks perlombongan masing-masing mencatatkan penurunan 0.4 peratus dan 1.8 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast