Drama Bukan Gadis Biasa mendapat kritikan netizen di media sosial.

KUALA LUMPUR – Penerbit drama, Fadzil Teh turut terkesan dengan kritikan demi kritikan yang dilemparkan kepada drama Bukan Gadis Biasa terbitan JS Pictures yang disiarkan sepanjang Ramadan ini.

Fadzil atau lebih dikenali sebagai Haji Zeel berkata, sebagai rakan dalam industri, dia berasa sedih apabila kritikan tersebut turut dikeluarkan daripada rakan penerbit serta artis tempatan sendiri.

Padahal jelasnya, golongan dalam industri sepatutnya memberi sokongan terhadap sesuatu karya dan bukan kritikan yang bersifat menjatuhkan.

“Biarpun berbagai komen dan reaksi netizen terhadap watak Opah Aminah, saya rasa JS Pictures telah berjaya membawa watak itu dengan sempurnanya.

“Marahnya, lucunya berjiwa membuai emosi penonton. Kita sepatutnya menyokong kerja kerasnya bukan menghentam,” tulisnya menerusi laman sosial Instagram miliknya.

Haji Zeel menambah, kritikan keterlaluan yang diterima oleh Sheila Rusly itu sedikit sebanyak turut membuat dirinya terasa hati.

“Saya tak kisah jika netizen di luar sana yg menghentam tapi saya kecil hati melihat sebahagian rakan penerbit dan artis yang terang-terang menghentam kerja seni beliau, sepatutnya kita karyawan Melayu sama-sama menyokong bukan menjatuhkan.

“Apapun, Bukan Gadis Biasa makin menarik plot ceritanya,” katanya lagi di Instagram.

Sebelum ini, drama ini menjadi bualan ramai selepas teknik suntingannya yang lemah dikritik netizen Twitter.

Malah solekan Opah Aminah lakonan Sheila turut dikritik kerana keterlaluan dan tidak selari dengan kulit jari yang nampak licin dan tidak berkedut. Penggunaan bahasa kasar seperti kau dan aku dalam dialog turut ditegur netizen.

Drama Bukan Gadis Biasa lakonan Sheila Rusly, Ayda Jebat dan Remy Ishak disiarkan setiap Isnin hingga Sabtu di slot Akasia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.