KUALA LUMPUR – Perhimpunan yang dibenarkan untuk sambutan Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Dayak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih tertakluk kepada sebarang arahan Ketua Pengarah Kesihatan.
Perkara ini dinyatakan dalam Peraturan 7(2)(a), Warta Kerajaan Persekutuan mengenai Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.6) 2020 yang dikeluarkan laman sesawang Jabatan Peguam Negara, semalam.
Subperaturan (2) di bawah Peraturan 7 itu menyebut “walau apa pun subperaturan (1), seseorang boleh berhimpun atau terlibat dalam suatu perhimpunan – (a) bagi Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Dayak tertakluk kepada apa-apa arahan ketua pengarah Kesihatan, dan (b) bagi pengebumian, dengan syarat orang yang hadir ke pengebumian itu tidak melebihi 20.”
Warta itu yang ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Adham Baba menyatakan peraturan itu berkuat kuasa dari tempoh 13 Mei 2020 hingga 9 Jun 2020.
Warta itu turut menyatakan mana-mana orang yang memandu kenderaan persendirian tidak boleh membawa lebih daripada 3 penumpang dan penumpang itu hendaklah orang yang tinggal serumah dengannya.
Peraturan-Peraturan itu juga menyatakan tiada seorang pun boleh melakukan, menganjurkan, mengusahakan atau terlibat dalam mana-mana aktiviti terlarang dalam mana-mana kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan tempatan jangkitan di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Warta itu menyenaraikan 15 aktiviti terlarang yang menyebabkan ramai orang berhimpun iaitu aktiviti hiburan, riadah, sukan, kelab malam, perayaan keagamaan, kebudayaan dan kesenian, perniagaan, perjudian, penggunaan bilik acu di dalam kedai pakaian, mencuba aksesori fesyen, perkhidmatan di kedai gunting rambut dan salun kecantikan, penggambaran filem, drama, dokumentari dan iklan serta aktiviti kapal persiaran dan perkhidmatan pelancongan.
Peraturan 6(1) berkata tiada seorang pun boleh bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain kecuali untuk pergi dan balik kerja.
Peraturan itu juga menyatakan ahli Parlimen atau ADUN masing-masing boleh menghadiri persidangan Parlimen atau DUN.
Bagi pengangkutan awam seseorang pemegang lesen atau permit mana-mana pengangkutan awam darat, laut atau udara untuk membawa penumpang hendaklah memastikan pengangkutan awam yang berhubungan dengan lesen atau permitnya tidak membawa lebih daripada separuh jumlah kapasiti maksimum bilangan penumpang yang boleh dibawa di dalam pengangkutan awam itu bagi setiap perjalanan.
Sementara itu, pemandu kereta sewa, teksi, teksi lapangan terbang, teksi mewah atau kenderaan e-hailing tidak boleh membawa lebih dua penumpang bagi setiap perjalanan.
Bagi pengangkutan awam udara ke Sabah atau Sarawak dari Semenanjung Malaysia dan sebaliknya, peraturan itu menyebut pemegang lesen atau permit mana-mana pengangkutan awam udara untuk membawa penumpang hendaklah memastikan pengangkutan itu tidak membawa lebih daripada 66.6% jumlah maksimum faktor beban pengangkutan yang boleh dibawa bagi setiap perjalanan penerbangan berjadual dari Negeri Sabah atau Sarawak ke Semenanjung Malaysia.
Ia juga menyatakan pemegang lesen atau permit mana-mana pengangkutan awam udara untuk membawa penumpang boleh membawa jumlah kapasiti maksimum bilangan penumpang bagi setiap perjalanan penerbangan berjadual dari Semenanjung Malaysia ke Sabah atau Sarawak.
Bagi pemegang lesen atau permit mana-mana pengangkutan awam udara untuk membawa penumpang boleh membawa jumlah kapasiti maksimum bilangan penumpang bagi setiap perjalanan penerbangan tidak berjadual dari Semenanjung Malaysia ke Sabah atau Sarawak, jika semua penumpang itu adalah pelajar di Semenanjung Malaysia yang pulang ke Sabah atau Sarawak.
Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-BERNAMA