KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan semua pejabat kerajaan terutama melibatkan kaunter perkhidmatan dibuka sepenuhnya hari ini.
Keputusan itu dibuat Mesyuarat Kabinet bagi memudahkan orang ramai berurusan dan menyelesaikan masalah yang tertangguh akibat penutupan pejabat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, antara pejabat dibuka sepenuhnya hari ini ialah kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan akan diikuti oleh jabatan kerajaan yang lain.
“Semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan hendaklah dipatuhi sepenuhnya seperti melakukan saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan sosial dan menyediakan hand santizer.
“Pejabat yang terlibat juga perlu disanitasi terlebih dahulu sebelum beroperasi,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Mengenai kadar pematuhan, Ismail Sabri berkata, tiga negeri mencatatkan kadar pematuhan tertinggi SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Tiga negeri itu ialah Pahang, Melaka dan Pulau Pinang, yang masing-masing mencatatkan 98 peratus kadar pematuhan berbanding negeri lain masih ditahap 86 peratus.
Bagi peratusan kadar pematuhan seluruh negara, beliau berkata, rekod menunjukkan 95 peratus, iaitu masih ditahap tidak memuaskan jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di negara ini.
“Namun, Task Force Operasi Pematuhan terus meningkatkan usaha di setiap sektor termasuk melakukan pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPB.
“Pasukan ini juga telah melakukan pemeriksaan ke atas 5,022 pasar raya; 4,092 restoran dan 1,255 kilang serta 3,482 bank, manakala 954 pemeriksaan dilakukan di terminal pengangkutan darat; 172 terminal pengangkutan air dan 72 terminal pengangkutan udara,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan juga dilakukan ke atas 34,840 kenderaan persendirian dan 3,175 kenderaan awam, yang mana turut diperiksa adalah 2,062 pasar awam, 3,606 tempat ibadah, 1,397 tempat riadah dan 359 tapak binaan.
Bagi tugasan ini, seramai 16,518 anggota polis terlibat yang membentuk 3,122 Pasukan Pematuhan
“Seperti diumumkan semalam, tindakan undang-undang akan diambil oleh polis ke atas sesiapa yang melanggar SOP dan semalam, polis telah menahan seorang individu di Selangor atas kesalahan melanggar SOP.
“Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati tidak mematuhi SOP yang disediakan.
“Sekali lagi diingatkan kepada semua pihak supaya mengikuti SOP dan peraturan yang ditetapkan. Kerjasama dan disiplin diri daripada anda semua amat penting bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette