Hardi Jaafar (kiri).

KUALA LUMPUR –  Penyerang berpengalaman, Safee Sali melabelkan Hardi Jaafar, bekas pemain tengah negara di awal era tahun 2000 sebagai antara bintang yang sukar dicari ganti.

Bagi pemain PJ City ini, kenangan selama dua musim di Selangor bersama Hardi Jaafar pada tahun 2009 dan tahun 2010, banyak mengingatkannya ‘kehebatan’ kaki kiri dimiliki pemain yang berasal dari Ipoh itu.

Tambahnya, Hardi mempunyai keupayaan teknikal yang cukup tinggi terutama dalam melakukan hantaran tepat kepada rakan sepasukan selain sering kali menjaringkan banyak gol menarik dari jarak jauh.

“Bercakap tentang Hardi, bola dari kaki kirinya memang yang terbaik yang saya pernah jumpa sepanjang beraksi di Liga Malaysia.

“Tiap kali dia melakukan hantaran dari mana-mana posisi, pasti akan tepat dan ini banyak memudahkan tugas saya sebagai penyerang satu ketika dahulu di Selangor dan skuad negara.

“Mungkin dia tiada kepantasan tetapi keupayaan teknikal kaki kirinya yang saya rasa sukar untuk kita jumpa terhadap mana-mana pemain malah saya rasakan masih kekal antara terbaik buat masa sekarang.

“Mengenali Hardi, dia sememangnya seorang yang ceria daripada segi perwatakan tetapi cukup serius jika di atas padang dan saya gembira kerana pernah beraksi pemain sepertinya sebelum ini, ” kata pemain berusia 36 tahun itu.

Hardi menjadi salah seorang pemain dalam Pilihan XI Safee dengan formasi 4-5-1 menjadi pilihan.

Safee membariskan Farizal Marlias selaku penjaga gol manakala Asraruddin Putra Omar, Khairul Anuar Baharom, Marcos Antonio dan S Kunanlan di bahagian pertahanan.

Selain Hardi menguatkan jentera tengah, Safee turut memilih Indra Putra Mahayuddin, Pablo Aimar, Safiq Rahim dan Safawi Rasid.

Penyerang tunggal menjadi pilihan Safee ialah bekas penyerang Johor Darul Ta’zim( JDT) yang kini merupakan pengurus pasukan, Luciano Figueroa.

Dalam pada itu, Safee turut mendedahkan beraksi dengan Pablo Aimar ketika di JDT juga sebagai satu kenangan manis dalam kariernya.

“Dia sememangnya pemain berkelas dunia dan sudah cukup dikenali pada waktu itu sebelum ke JDT, jadi saya cukup teruja.

“Saat tidak boleh lupa ialah tiap kali dalam sesi latihan, memang saya tidak boleh rampas langsung daripada kakinya dan kehebatannya mengawal bola cukup menakjubkan walaupun bertubuh kecil

“Banyak juga perkara yang saya belajar daripadanya dan kekal sebagai memori manis buat saya sebagai pemain,” katanya. – MalaysiaGazette