Lee Tuck bercadang untuk meneruskan puasa sekurang-kurangnya sehingga satu atau dua hari dalam seminggu.

KUALA LUMPUR – Pemain import Terengganu FC (TFC), Lee Tuck menganggap pengalaman berpuasa di bulan Ramadan pada tahun ini sesuatu yang cukup berharga buat dirinya untuk menyelami sendiri perasaan menahan lapar dan dahaga sepanjang hari.

Pemain kelahiran England ini menyifatkan ia satu cabaran yang besar untuknya berpuasa penuh buat kali pertama dan melahirkan rasa bangga terhadap rakan Muslim lain yang berpuasa selama satu bulan pada bulan Ramadan ini.

Lee Tuck pada mulanya agak terkejut apabila pengalaman menahan lapar dan dahaga itu sebenarnya tidak menjejaskan kecergasan dirinya malah memberinya satu rasa yang cukup berbeza baik daripada segi ketahanan fizikal dan mental.

Pemain berusia 32 tahun itu sempat berkongsi video dirinya berbuka puasa bersama keluarga tersayang di rumahnya di Terengganu semalam.

“Sememangnya satu pengalaman baharu untuk saya dan saya agak gementar pada mulanya untuk cuba berpuasa, tetapi akhirnya ia berjalan dengan cukup lancar.

“Daripada situ saya berpeluang untuk merasai sendiri bagaimana seorang Muslim di sini berpuasa dan bagaimana mereka kuat untuk terus berdisiplin menahan lapar dan dahaga.

“Sebelum ini saya pernah cuba juga, tetapi saya masih lagi minum air, cuma semalam adalah kali pertama saya berpuasa penuh tanpa air dan makanan, jadi saya agak terkejut saya dapat melakukannya kerana ia bukan mudah.

“Satu penghormatan daripada saya dan keluarga kepada semua Muslim yang berpuasa selama satu bulan dan saya bercadang ingin meneruskan puasa penuh ini sekurang-kurangnya sehingga satu atau dua hari dalam seminggu,” katanya.

Lee Tuck ketika ini bersyukur apabila dia sekurang-kurangnya dapat melakukan aktiviti riadah di luar berbanding sebelum ini hanya berlatih di rumah.

Apa yang penting, dia ingin terus positif untuk berharap agar pasukan dapat kembali berlatih bersama dalam masa terdekat sebagai persediaan harungi Liga Malaysia yang dijangka kembali bersambung pada September.

“Memang saya sangat berharap agar kami semua satu pasukan dapat kembali berjumpa dan berlatih bersama.

“Tetapi sekurang-kurangnya untuk sekarang, kita patut bersyukur juga akhirnya dapat keluar melakukan aktiviti di luar kawasan rumah kerana sebelum ini semua orang hanya melakukan latihan ringan di rumah sahaja.

“Sememangnya susah untuk kita menyesuaikan diri dengan situasi sekarang, tetapi apa lagi kita boleh buat dan saya tetap berlatih dengan kuat untuk pastikan tahap kecergasan saya di tahap terbaik selain sentiasa bersedia untuk memulakan saingan bila-bila masa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast