Jacob George

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam hari ini mempersoalkan sejauh mana maklumat peribadi yang perlu dikemukakan dalam buku catatan semasa memasuki  sesebuah premis dalam usaha menjejak kontak individu yang dijangkiti Covid-19 berada dalam keadaan selamat.

Presidennya, Datuk Dr Jacob George berkata, berdasarkan pemantauan yang dibuat, kebanyakan pihak yang terlibat dalam mengendalikan buku catatan tersebut tidak tahu pun sama ada buku berkenaan merupakan barangan kawalan keselamatan.

Malah, mereka juga tidak tahu bahawa buku itu perlu berada di bawah pengawasan, kawalan dan keselamatan pengurusan kanan – sama ada di pasar-pasar raya, bank, pusat perkhidmatan kad, hospital, klinik dan perkhidmatan lain.

“Ia merupakan satu pengabaian tugas jika data peribadi orang ramai yang dikemukakan di bawah keperluan protokol Covid-19 tidak diuruskan secara profesional.

“Sedangkan, pihak yang mengutip data perlu sedar bahawa Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) yang berkuatkuasa di Malaysia pada 15 November 2013 bertujuan melindungi data peribadi individu berkenaan dengan transaksi komersial.

”Akta ini juga terpakai kepada setiap individu yang mengumpul dan memproses data peribadi berkaitan dengan transaksi komersial dan berhubung hal ini, bahkan data dan informasi peribadi yang terkandung dalam protokol pendaftaran Covid 19,” katanya di sini hari ini.

Kebimbangan ini suarakan selepas CASSA menerima lonjakan aduan dan rungutan orang ramai yang mendakwa menerima panggilan scam sejak kebelakangan ini.

Jacob berkata, pada bulan ini sahaja, pihaknya menerima 500 aduan berhubung pihak yang tidak dikenali mendakwa mewakili bank, polis, mahkamah, pihak berkuasa dan perniagaan berhubung dagangan dan skim-skim pelaburan.

Para pelanggan yang membuat aduan itu mengesahkan tidak memohon perkhidmatan tersebut dan juga tidak melanggar undang-undang.

“Sebab itu saya mempersoalkan dari mana punca peningkatan aduan oleh pengguna ini?

“Hasil siasatan daripada di pelbagai premis perniagaan didapati pelawat dan pengguna diminta mendaftar nama, nombor kad pengenalan dan telefon sebelum memasuki premis berkenaan,” ujarnya sambil memohon kerajaan melaksanakan
protokol keselamatan pada buku catatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast