Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih boleh kekal memerintah Sabah kalau parti UPKO dan Solidariti Tanah Airku tidak melompat keluar dari komponen itu menjelang PRU-14.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, disebabkan pengkhianatan itu, UMNO dan BN yang mempunyai 31 kerusi tumbang selepas 24 tahun menjadi pemerintah.

Beliau berkata, parti Warisan yang bergabung dengan DAP dan PKR ketika itu mempunyai 29 kerusi dan dengan kemasukan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UPKO menjadikannya 34 kerusi dan membolehkan mereka mengambil alih tampuk pemerintahan dari BN.

“Selepas tidak lagi menjadi pemerintah, seorang demi seorang pemimpin UMNO keluar parti. Ada yang menyertai Warisan, ada yang masuk UPKO dan PKR.

“Akhirnya, tinggallah saya dengan beberapa pemimpin yang setia, antaranya Datuk Yakub Khan dan Datuk Raimi Unggi.

“Namun, saya akur keadaan UMNO dan BN masa itu kerana saya tahu politik ini adalah politik tawaran, di mana rakyat bebas memilih siapa (parti mana) yang mereka suka,” katanya dalam temubual secara langsung sempena Ulang Tahun ke-74 UMNO yang disiar menerusi Facebook semalam.

Menurut Bung Moktar, BN mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah tahun 1994 yang mana ketika itu pembangunannya amat ketinggalan berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, selepas itu, BN Sabah telah melakar beberapa kejayaan dan mencipta sejarah.

Ditanya bagaimana BN Sabah kalah dalam PRU-14, Bung Moktar berkata, cara pemimpin PH dan Warisan membuat spekulasi berkenaan ekonomi negara, 1MDB dan isu bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman telah menarik minat rakyat untuk menyingkirnya.

“Kita boleh terima kekalahan kerana itu adat dalam politik, ada kalah ada menang. Tetapi, kita tidak boleh terima jika kita dikhianati. Sebenarnya UPKO telah mengkhianati dan menipu BN sebanyak dua kali.

“Pengkhianatan ini menyebabkan BN Sabah menjadi pembangkang dan sejak itu, ramai yang keluar UMNO dan BN untuk menyertai Warisan, UPKO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” ujarnya.

Mengimbau kembali UMNO dan BN sebelum ini, jelas Bung Moktar, parti terbesar orang Melayu itu telah melalui pelbagai krisis, dugaan, cabaran, rintangan dan halangan.

Lebih lagi UMNO Sabah, katanya, apabila kalah, beberapa parti komponen meninggalkan BN dan paling menyedihkan 22 Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita meninggalkan parti.

“Ketika itu UMNO Sabah dianggap tidak wujud lagi. Namun, saya diberi amanah oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memimpin UMNO negeri.

“Saya, Yakub dan Raimi dengan sedikit kepakaran dan ilmu yang ada, turun ke bawah memastikan ahli akar umbi masih bersama dengan UMNO, dan jangkaan saya tidak salah kerana yang melompat parti adalah ketua-ketua kepimpinan sedangkan ahli terus setia bersama UMNO.

“Itulah perjalanan UMNO Sabah sehingga hari ini. Sebetulnya kami telah meletakkan pelbagai hala tuju, dan paling mendebarkan UMNO Sabah apabila kami membuat keputusan bertanding Pilihan Raya Kecil DUN Kimanis,” katanya.

Beliau menyatakan, itulah cabaran besar kerana ketika itu juga tidak ada seorang pun pemimpin UMNO yakin akan menang, termasuklah Ahmad Zahid dan beliau sendiri.

“Masakan yakin, calon yang kita nak lawan adalah dari Warisan yang ketika itu adalah kerajaan, mempunyai jentera yang kuat, sumber kewangan yang banyak dan sebagainya.

“Tetapi, politik adalah keyakinan, di mana kami berjaya meyakinkan rakyat dan menumbangkan calon Warisan di Kimanis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

5 Komen

  1. Insyllah ..lpas ini kita jgn pcaya kpd org ..insyllah umno sabah akan maju n akan trus kekal smpai bila2..rakyat pun sudah tahu siapa sbnar yg mkhianati ngra..pru15, kita hncurkan DAP, PAN, PKR, Warisan n parti2 pngkhianat itu..

  2. Tahniah Bung Mokhtar dan UMNO Sabah..rakyat bersama anda…tapi yg aku pelik Nuar Beghahim & Medey serta macai2 dia tak menyalak plak bila org UMNO lompat masuk Warisan PH…tak de plak duk sebut pasal mandat rakyat kan…hipokrit sungguh!!

  3. Tahniah Datuk. Teruskan perjuangan. Pru15 ni Warisan dpt dikalahkan. Biar ramai yg lompat, percayalah dalam hati mereka tetap ada UMNO. Tatap BN.

  4. Jangan risau lah Bung…sini pedalaman bawah sokongan kpd BN masih kuat sebab kawasan ni mojriti asli sabahan..kita di sini mmg tolak pemimpin yg menyayangi PTI.

  5. Yg penting pemimpin mesti amanah, jujur dan ikhlas, jika sifat ini ada pd pemimpin, insya Allah rakyat akan sokong pemimpin seperti ini…

Comments are closed.