Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia telah menahan 10 individu di atas kesalahan melanggar prosedur prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak berkuasa telah menamatkan fasa memberi nasihat dan kini mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang gagal mematuhi SOP yang disediakan.

Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati tidak mematuhi SOP yang disediakan. Justeru, semua pihak diingatkan supaya mengikuti SOP dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Kerjasama dan disiplin diri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19 ini,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan segelintir pihak pengurusan kediaman seperti kondominium dan pangsapuri yang tidak membenarkan penghuni yang terkandas di kampung untuk kembali ke kediaman masing-masing, Ismail Sabri menegaskan supaya mereka tidak membuat peraturan sendiri.

Jelasnya, setiap peraturan mestilah bersandarkan kepada SOP dan Akta 342 yang telah ditetapkan kerajaan.

“Saya ada menerima aduan daripada mereka yang tidak dibenarkan masuk ke kondominium atau pangsapuri masing-masing selepas pulang daripada kampung akibat terkandas selama lebih sebulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga terpaksa menyewa di tempat lain pula.

“Mereka ini telah mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan untuk membuat pergerakan rentas negeri bagi pulang semula ke kediaman masing-masing.

“Jadi, saya ingin mengingatkan pihak pengurusan bangunan supaya membuat peraturan berdasarkan SOP yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau sekali lagi menegaskan, perhimpunan beramai-ramai termasuk majlis perkahwinan dan upacara tamat latihan bagi anggota tentera masih tidak dibenarkan setakat ini. – MalaysiaGazette