KUALA LUMPUR – Kebenaran kepada masjid atau surau dalam pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu, solat sunat tarawih dan solat sunat Aidilfitri boleh ditarik balik.
Ia akan ditarik balik sekiranya pihak pengurusan rumah ibadat itu gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Mohd Ajib Ismail berkata, ini termasuklah membuat saringan kesihatan dan pendaftaran setiap jemaah yang hadir setiap kali solat berjemaah di masjid atau surau Jumaat.
“Setiap jawatankuasa, pengerusi, tok imam atau jemaah yang dijemput perlu mendaftarkan diri, perlu disaring suhunya dan perlu memastikan sentiasa membawa sanitizer atau menggunakan sanitizer yang disediakan di kaunter.
“Kedua mereka perlu membawa sejadah sebagaimana saya sendiri bawa sejadah dan perlu dilihat kepada umurnya mestilah di bawah 70 tahun dan tidak kurang dari 15 tahun dan ke atas.
“Jadi peraturan-peraturan begini kita berikan, sekiranya ada masjid dan surau Jumaat yang tidak mematuhinya maka JAWI mempunyai hak untuk menarik balik kebenaran ini kerana tidak mematuhi garis panduan yang telah kita keluarkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Masjid Negara hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hanya masjid dan surau terpilih dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan solat berjemaah.
Ia dilakukan secara berperingkat mulai hari ini dengan bilangan jemaah minimum tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.
Mohd Ajib menambah, kawasan yang bersatutu zon hijau bertukar ke zon kuning, pihak masjid dan surau Jumaat akan diminta untuk menangguhkan semua solat berjemaah.
“Solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu, solat tarawih dan solat Aidilfitri hanya masjid dan surau Jumaat yang berada di zon hijau sahaja.
“Sekiranya satu-satu masjid itu sekarang ini berada di zon hijau tetapi satu ketika katakanlah dia kembali kepada zon kuning, kita akan minta masjid itu menangguhkan solat berjemaah, solat tarawih dan solat Aidilfitri sendiri,” jelasnya.
Ditanya tentang masih ada jemaah kariah yang mahu menunaikan solat di masjid dan surau Jumaat, Mohd Adib berkata, jumlah 30 orang itu hanya diberikan secara jemputan sahaja dan bukan secara terbuka.
“Kita telah memberi penjelasan kepada semua pengerusi masjid dan surau Jumaat, semua pegawai dan kakitangan mereka bahawa mereka perlu meletakkan notis di pintu pagar.
“Jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu dan solat Aidilfitri adalah hanya untuk jawatankuasa, Pengerusi, pegawai tugas masjid serta jemaah yang dapat jemputan.
“Sekiranya mereka tidak mendapat jemputan, dikhuatiri jumlah 30 orang itu akan berlebihan dan kita tidak boleh melaksanakan solat tersebut, sebab mengikut garis panduan hendaklah kurang daripada 30 orang dan lebih dari tiga orang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette