Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni mengimankan solat Jumaat selepas kerajaan membenarkan semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan berstatus zon hijau menunaikan solat Jumaat, berjemaah, tarawih dan Aidilfitri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Selepas dua bulan tiada solat Jumaat dan sembahyang secara berjemaah di masjid dan surau, hari ini umat Islam boleh menarik nafas lega, namun hanya 30 orang dibenarkan kembali melalukan ibadah itu pada hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette ke Masjid Negara mendapati hanya 30 tetamu jemputan sahaja dibenarkan menunaikan solat Jumaat di dewan solat utama.

Bagaimanapun, kesemua mereka ini perlu menjalani saringan kesihatan dan mendaftarkan butiran diri sebelum dibenarkan memasuki ruang solat Masjid Negara.

Sebanyak dua lokasi pengimbasan suhu badan dibuat iaitu di pondok keselamatan yang terletak di pintu pagar dan satu lagi di pintu masuk dewan solat Masjid Negara.

Bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi, pihak masjid hanya membenarkan dua saf (barisan) dibuka untuk solat Jumaat.

Sebahagian jemaah menunaikan solat Jumaat selepas kerajaan membenarkan semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan berstatus zon hijau menunaikan solat Jumaat, berjemaah, tarawih dan Aidilfitri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MEI 2020

Selain itu, setiap jemaah akan dijarakkan satu meter antara satu jemaah dengan jemaah lain bagi mematuhi penjarakan sosial ketika solat Jumaat.

Bagi pelaksanaan solat Jumaat kali pertama selepas lebih dua bulan, ia dilakukan seperti biasa dan khutbah Jumaat pula dibuat tidak lebih 15 minit sahaja.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyebut masjid dan surau terpilih dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan solat berjemaah secara berperingkat mulai hari ini dengan bilangan jemaah minimum tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.

Perlis sebelum ini juga membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di masjid seluruh negeri itu bermula hari ini yang hanya terhad kepada ahli jawatankuasa masjid.

Sementara itu, di Selangor dan Perak pula hanya membenarkan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang termasuk imam dan khatib.

Kerajaan negeri Melaka pula mengambil keputusan membenarkan pelaksanaan solat Jumaat bermula 29 Mei dengan 40 jemaah dibenarkan.

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei, Malaysia mencatatkan kes baharu COVID-19 di paras dua digit dengan kes terendah direkodkan pada Selasa lepas iaitu 16 kes.

Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia setakat ini ialah 6,819 kes dengan 112 kematian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Saya nak tanpa sekumpulan jurugamvar yang dilihat pada imej yang beredar di laman sosial semasa liputan solat jumaat tersebut dilihat tidak mematuhi perjarakjan sosial dan semua dilihat berhimpun dalam satu tempat yang terhadap.. Tak dak kah yang nak buat laporan polis seperti yang dilakukan puak puak cauvinis terhadap menteri agama….

Comments are closed.