Penduduk di sekitar Pasar Jalan Pudu masih boleh berurusan.

KUALA LUMPUR – Pasar Jalan Pudu di ibu kota tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri.

Sebaliknya, kata beliau, kawasan itu dan sekitarnya hanya dikenakan kawalan pentadbiran sahaja, yang mana penduduk di kawasan itu masih boleh keluar masuk untuk membeli makanan dan sebagainya.

“Belum lagi PKPD, tapi kita telah mengarahkan pasukan keselamatan membuat kawalan di situ dengan penduduk masih dibenarkan untuk membeli makanan dan sebagainya.

“Kementerian Kesihatan turut melakukan saringan ke atas setiap individu yang ada di kawasan yang kita buat kawalan secara pentadbiran ini. Kalau ada yang positif Covid-19, kita akan hantar ke hospital,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Beliau diminta mengulas kawasan di sekitar pasar di Jalan Pasar dan Jalan Pudu di sini, dipasang pagar kawat berduri dan dikawal oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak tengah malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika mengesahkan perkara itu berkata, kawasan berkenaan bagaimanapun tidak dikenakan PKPD, sebaliknya hanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkemas dan diperkasa.

“Tidak dikenakan PKPD, tetapi memperkemas dan memperkasa PKP seperti dilakukan di Jalan Raja Bot, Pasar Chow Kit,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pemasangan pagar kawat duri dilakukan dari D’Majestic Place hingga ke persimpangan Jalan Pasar/Jalan Pudu dan Jalan Landak oleh anggota tentera.

Ismail Sabri Yaakob

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD ke-7 di kawasan Selayang Baru, Gombak yang berkuatkuasa 25 April lalu telah tamat hari ini.

Antara kawasan yang terlibat dengan PKPD itu sebelum ini ialah Zon C: Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21; Zon D, Jalan 3, 5, 7 dan 9; Zon E, Jalan 2, 4, 6 dan 8; dan Zon F, Blok A, B dan C Selayang Makmur.

Mengenai sekatan di sempadan negeri, Ismail Sabri menjelaskan, proses itu dimulakan semula selepas rentas negeri dibenarkan empat hari sahaja menerusi aplikasi GerakMalaysia.

Selepas itu, tegas beliau, rentas negeri tidak dibenarkan lagi dan sesiapa hendak pulang sama ada bagi pasangan yang terpisah disebabkan PKP, boleh memohon kebenaran dari polis.

“Sekatan jalan raya mula dilaksanakan bagi mengelakkan rentas negeri. Sesiapa yang merentas tanpa kebenaran polis akan dikenakan tindakan. Mereka boleh dihukum bawah Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka yang curi-curi pulang ini boleh dikenakan denda atau bawa ke mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast