PERANCIS – Perlumbaan MotoGP Perancis yang sepatutnya berlangsung esok bakal diadakan Oktober depan.

Penganjur perlumbaan, Claude Michy berkata, penangguhan tersebut baru-baru ini adalah disebabkan penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Kami akan terus berusaha memastikan Grand Prix Perancis 2020 dapat dianjurkan pada awal Oktober.

“Pilihan itu perlu disahkan dalam masa beberapa minggu akan datang. Kami harap situasi kesihatan semakin bertambah baik walaupun belum ada kepastian mengenai kelulusan penganjuran sukan berskala besar yang dihadiri ramai penonton,” katanya menerusi kenyataan.

Penganjur MotoGP, Dorna dan Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) kini merombak jadual baharu musim 2020 yang mungkin bermula pada 19 Julai depan di Jerez, Sepanyol.

Perlumbaan itu akan berlangsung dalam litar tertutup selain hanya meletakkan jumlah krew yang berkurangan di paddock.

Penganjur merancang melangsungkan antara 10-12 perlumbaan di Eropah sebelum akhir November dan di luar Eropah selepas itu.

Sebanyak 11 perlumbaan pertama MotoGP musim ini dibatalkan atau ditunda manakala kategori Moto2 dan Moto3 terhenti sejak saingan di Qatar pada Mac lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast