PUTRAJAYA – Sebanyak 1,248 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh polis semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu naik lebih sekali ganda jumlah kenderaan yang ditahan pada hari sebelumnya.
“Ini bermakna lebih sekali ganda kenderaan ditahan dan masih ada lagi cuba curi-curi pulang ke kampung dengan pelbagai alasan. Bagi saya tidak perlulah lepas sahur untuk bergerak pulang dan bila sampai di sekatan ditahan.
“Alhamdulillah kalau disuruh patah balik dan kalau kena kompuan RM1,000 yang rugi adalah kita. Jadi tidak perlu cuba balik kampung. Jumlah hanya 20 orang pada Hari Hari Raya pertama dan di kampung lagi ramai orang. Sabarlah kalau kita semua patuh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan trend menurun, Insya-Allah PKP akan tamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian PKPB di sini hari ini.
Ismai menambah, pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati tidak mematuhi standard prosuder operasi (SOP) yang disediakan.
Jelas beliau, semalam juga menyaksikan Polis DiRaja Malaysia telah menahan 132 individu atas kesalahan melanggar SOP yang mana ke semua 132 individu telah direman.
“Polis juga telah mengenakan 147 Sekatan Jalan Raya Rentas sempadan negeri (inter-state) di seluruh negara dan memeriksa 218,027 kenderaan.
“Justeru, semua pihak diingatkan supaya mengikuti SOP dan peraturan yang telah ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik Covid-19 ini,” katanya. – MalaysiaGazette