PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata plasma yang diperoleh daripada pesakit positif Covid-19 yang sudah sembuh masih belum digunakan lagi setakat ini.
Jelas Noor Hisham, ia disebabkan kekurangan pesakit yang dikategorikan di peringkat empat atau lima.
“Setakat ini, kita ada sembilan pesakit yang mendermakan plasma darah mereka untuk penyelidikan dan digunakan pesakit. Tiga daripada mereka menderma sebanyak dua kali dan kita ada 22 pek plasma setakat ini.
“Kita sudah ada tapi tidak digunakan setakat ini dan sekiranya ada keperluan kita akan gunakan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau menambah, kesemua pek plasma itu telah disalurkan di hospital-hospital di ibu negara serta di Sabah dan Sarawak.
Malah katanya, kapasiti itu sedia untuk digunakan sekiranya diperlukan.
“Kita ada kapasiti tapi jika ada indikasi untuk gunakan, kita akan gunakan terutamanya kepada pesakit yang mempunyai kadar imun yang rendah.
“Plasma ini daripada pesakit yang pulih Covid-19 dan ada antibodi yang tinggi. Jadi kita akan gunakan jika diperlukan,” katanya lagi.
Plasma darah pesakit positif Covid-19 yang sembuh sesuai untuk dijadikan serum bagi merawat wabak itu.
Dalam pada itu, seramai 10 lagi pesakit masih menanti waktu untuk mendermakan plasma darah masing-masing dan menunggu ujian saringan.
Perkara sama turut dijelaskan Noor Hisham tentang ubat anti viral, Remdesivir yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Jelasnya, penggunaan ubat itu dilihat tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada pesakit.
“Kita sudah memulakan pada pesakit kita di Hospital Sungai Buloh dan sembilan lagi masih kita laksanakan ujian dan ubat tersebut tapi masih dalam proses penggunaan. Tempoh dia dua minggu jadi kita lihat setakat ini tidak ada apa-apa masalah dari segi penggunaan ubat.
“Ini satu kaedah untuk kita membuat rawatan dan kita berikan ubat lain dan ini untuk kajian dan kita gunakan ubat Remdesivir ini untuk pesakit kita sebagaimana mengikut protokol kajian yang diberikan oleh WHO,” katanya lagi. -MalaysiaGazette