Bekas peguam, Herlina Kamisiah Sauli, 42, diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan pecah amanah lapan tahun lalu di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 18 MEI 2020.

PETALING JAYA – Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 3 hari ini atas empat tuduhan pecah amanah lapan tahun lalu melibatkan wang berjumlah RM330,350.81.

Tertuduh, Herlina Kamisiah Sauli, 42, membuat pengakuan itu ketika jurubahasa membacakan keempat-empat pertuduhan secara berasingan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Tertuduh dengan tangan bergari dan bertudung hitam yang berstatus ibu tunggal dibawa ke bilik mahkamah pada jam 10.15 pagi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Herlina yang kini hanya berkerja sebagai tukang jahit didakwa melakukan pecah amanah iaitu dengan menyalahgunakan wang hasil pembelian rumah milik klien pertama, Rosdiana Mangkona berjumlah RM30,159.00

Manakala dalam pertuduhan kedua melibatkan penyalahgunaan wang hasil penjualan rumah milik Mubarak Hussain Akhtar Husin berjumlah RM160,000.

Pertuduhan ketiga membabitkan pecah amanah ke atas wang jualan rumah milik Selvam Narayanan berjumlah RM72,000 dan pertuduhan keempat melibatkan pecah amanah terhadap wang penjualan rumah milik Tan Chang Ngiap berjumlah RM68,191.81.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh dengan niat untuk kegunaan sendiri yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Herlina yang kini menetap di Sarawak dituduh melakukan kesemua kesalahan itu pada 25 Februari, 18 September dan 9 Disember 2011 serta 1 Februari 2012 di pejabat firma guaman di Dataran Sunway, Kota Damansara.

Jika disabitkan kesemua kesalahan itu, tertuduh untuk setiap kesalahan berkenaan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebih 20 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwaraya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris mencadangkan mahkamah supaya dikenakan ikat jamin masing-masing sebanyak RM80,000, RM200,000, RM100,000 dan RM80,000 bagi keempat-empat pertuduhan tersebut dengan seorang penjamin.

Terdahulu rakan wanita kenalan rapat tertuduh yang bekerja sebagai pemandu e-hailing tampil sebagai penjamin selepas menerima panggilan daripada tertuduh dua hari lalu.

Bagaimanapun, hakim Azwarnida ketika menyemak butiran peribadi dan tempat tinggal penjamin itu menegur kealphaan penjamin yang hadir di mahkamah tanpa mempunyai maklumat  terkini rakannya yang menghadapi pertuduhan pecah amanah itu.

Azwarnida menegur penjamin atas keyakinannya menaruh kepercayaan terhadap kenalannya itu termasuk alamat tepat tempat tinggal semasa tertuduh.

“Kamu sanggup tak jamin dia sebab ia akan melibatkan jumlah besar dan tahu tak ini kes pecah amanah.

“Sekiranya saya membebaskan tertuduh, mahkamah membenarkan tertuduh dengan jaminan, jika dia gagal hadirkan diri ke mahkamah pada hari sebutan, mana kamu nak pergi cari dia untuk hadir ke mahkamah nanti,” kata Azwarnida.

Peguambela tertuduh, Zulkifli Awang merayu mahkamah supaya megenakan ikat jamin serendah boleh dengan mengambil kira status tertuduh sebagai ibu tunggal.

“Tuan hakim saya menyeru mahkamah belas ehsan menetapkan wang jaminan minimum yang mungkin dengan ambil kira status yang kini ibu tunggal tinggal di Sarawak menjaga anak perempuan berusia sembilan tahun dan ibunya berusia 57 tahun  uzur, dengan kerja sebagai tukang jahit (gaji bulanan) sekadar RM1,500 sahaja bergantung situasi.

“Pada 2013 dia sudah berhenti dari profesion sebagai peguam dan pernah dikenakan penjara empat tahun selapas dibicarakan pada 2013 dan dibebaskan pada 30 Ogos 2018 untuk satu kesalahan lain.

“Kini anak di bawah jagaan bekas suaminya disebabkan empat pertuduhan ini dan saya juga membiarkan kepada mahkamah bagi menentukan satu wang jaminan yang adil termasuk syarat-syarat tambahan jika perlu,” katanya.

Azwarnida menetapkan wang jaminan berjumlah RM20,000 iaitu RM5,000 untuk setiap pertuduhan dan menetapkan 22 Jun ini sebagai tarikh sebutan kes. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast