KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan dakwaan penyewelengan dana RM2.3 bilion yang ditangguhkan pada November tahun lalu disambung hari ini.
Ia ditangguhkan kerana tarikh perbicaraan dilapangkan bagi memberikan laluan kepada pembelaan SRC International Sdn. Bhd. yang juga melibatkan Najib dengan dakwaan penyewelengan sebanyak RM42 juta.
Perbicaraan yang masuk hari ke-36 hari ini akan menyaksikan ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah melakukan soal balas ke atas saksi kesembilan, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Shahrol Azral mula memberi keterangan sejak 23 September tahun lalu.
Prosiding terakhir dilakukan pada 13 Mac lalu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ditangguhkan.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tiba di perkarangan mahkamah Jalan Duta dengan memakai sut berwarna biru kelihatan tenang dan tersenyum.
Beliau yang memakai litup muka melambai kepada jurugambar.
Mahkamah telah menghadkan kehadiran media yang membuat liputan dan penyokong Najib yang mahu mengikuti perkembangan kes berprofil tinggi itu berikutan penularan wabak Covid-19.
Berikutan pelaksanaan prosedur baharu itu, terdapat pengamal media yang tidak mempunyai pas kebenaran mengikuti perbicaraan 1MDB dan terpaksa menunggu di perkarangan mahkamah.
Pengurusan mahkamah juga telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan mereka yang berada di mahkamah memakai litup muka.
’Timbalan Ketua Pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tiba lebih awal beranding yang lain-lain pada jam 1.25 tengah hari.
Mahkamah sebelum itu menetapkan 19-20 Mac, 23-27 Mac dan 30-31 Mac; 1-30 April; dan 4-8 Mei, 11-22 Mei termasuk Jumaat untuk meneruskan perbicaraan itu.
Tarikh lain yang ditetapkan ialah seluruh bulan Jun, Julai, Ogos, September dan Oktober termasuk Jumaat.
Namun, prosiding itu ditangguhkan beberapa kali susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Najib berdepan dengan empat pertuduhan menyalahguna kedudukannya untuk memperoleh gratifikasi berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. -MalaysiaGazette