KKM akan menjalankan ujian saringan ke atas 437 pendatang tanpa izin  (PATI) yang ditempatkan di depot tahanan warga asing di Kuala Lumpur.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan ujian saringan ke atas 437 pendatang tanpa izin  (PATI) yang ditempatkan di depot tahanan warga asing di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu akan disegerakan ekoran salah seorang tahanan itu telah dikesan positif Covid-19 dan dihantar pulang ke negara asalnya iaitu Myanmar.

Katanya, pihaknya dimaklumkan oleh Myanmar salah seorang warga negaranya disahkan positif Covid-19.

“Kita telah menghantar pulang warga asing ke negara asal mereka menerusi pengusiran dan terbaharu Myanmar ada dikesan satu kes positif dalam kalangan mereka yang telah dihantar pulang.

“Kalau kita lihat pada kes dan pusat depot tahanan PATI yang ada, 1,437 ditahan depot tahanan di KL yang mana sebelum PKP dimulakan seramai 437 warga asing ditempatkan di Blok A yang mana mereka telah diisolasi sebelum PKP dilaksanakan 18 Mac lalu.

“Namun sebenarnya mereka sebilangan kecil tahanan yang ditempatkan bersama 437 warga asing itu dihantar pulang ke negara asal masing-masing dan ujian saringan tidak dilakukan ke atas mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Noor Hisham, kira-kira 1,000 lagi tahanan di depot  Blok B kini sudah disaring dan mereka tidak ada sebarang masalah kerana mereka ditahan sepanjang PKP selepas 18 Mac lalu.

“Kini kita akan cuba menyaring 437 yang diletakkan bersama beberapa tahanan dari Blok A yang pernah dihantar pulang semasa pra-PKP dan disahkan positif di Myanmar.

“Inisiatif kita sekarang akan fokus kepada ujian saringan ke atas 437 tahanan di depot KL sekarang,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast