KUALA LUMPUR – Fauziah Ahmad Daud setakat ini telah membuat pembayaran kepada enam orang yang terlibat dalam produksi teater Korupsi Dewan Semandung.

Penerbit teater tersebut berkata bayaran dibuat daripada hasil jualan pes karinya.

Beliau meluahkan rasa terharunya apabila ada yang sanggup membeli pes kari daripadanya dengan niat menderma demi membantunya melangsaikan tunggakan bayaran team produksi teater itu.

“Memang ramai lagi yang belum dibayar dan saya masih berusaha nak dapatkan dana kerana memahami mereka nak beraya.

“Yang membeli dengan ikhlas baik untuk sendiri maupun membeli untuk menderma, saya terlalu terharu sangat. Saya sentiasa berkata Allah akan tolong dan Saya takkan putus bermohon pada Allah kerana saya wajib bayar hutang-hutang ini,” katanya menerusi akaun Instagramnya.

Terdahulu teater yang ditayangkan pada 28 hingga 1 Mac 2020 di Istana Budaya mendapat perhatian apabila salah seorang pelakon teater berkenaan, Che Mat membuat laporan mendakwa ditipu oleh Ogy yang gagal melunaskan baki bayaran.

Menegaskan tidak mengambil satu sen daripada hasil jualan tiket teater Korupsi Dewan Semandung, Ogy walaubagaimanapun memberi jaminan tidak akan melarikan diri untuk melunaskan tunggakan kepada semua team produksi yang terlibat.

“Walaupun saya tak ambil satu sen pun duit hasil jualan tiket dan bukan salah saya pun dengan apa yang terjadi tetapi saya harus menjaga maruah orang lain yang terlibat

“Lambat atau cepat saya tetap bayar,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast