Foto hiasan

PADA 11 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai satu pandemik. Kes Covid–19 yang bermula di Wuhan China, dilaporkan buat pertama kali kepada pihak WHO di China pada 31 Disember, 2019.

Bermula dari tarikh tersebut, penularan wabak ini telah meningkat secara mendadak dan telah merebak ke seluruh dunia. Setakat rencana ini ditulis, Covid -19 telah menjangkiti lebih daripada 4.5 juta penduduk dunia, dan telah meragut hampir 310,000 nyawa.

Golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak ini adalah golongan warga emas, disebabkan oleh faktor usia dan juga khusus nya  mereka yang mempunyai rekod komplikasi penyakit lain seperti jantung, darah tinggi, kencing manis dan juga masalah buah pinggang.

Statistik menunjukkan kadar kematian mereka yang berumur 80 tahun dan ke atas adalah lima kali ganda lebih tinggi daripada kadar purata kematian dunia. Di Eropah, lebih daripada 95 peratus kematian disebabkan oleh Covid-19 melibatkan mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas. Di Amerika Syarikat pula, 80 peratus kematian adalah kumpulan yang berumur 65 tahun ke atas, manakala di China, lebih 80 peratus kematian rakyat mereka terdiri dari warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

Senario yang sama juga berlaku di Malaysia. Dalam sidang media yang bertarikh 3 Mei 2020, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah telah menyatakan bahawa golongan berusia 61 hingga 70 tahun merupakan golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak penyakit ini. Sehingga tarikh tersebut, pihak KKM mendapati sebanyak 32 kes atau 32.2 peratus daripada 99 kes kematian membabitkan warga emas dalam lingkungan usia 61 hingga 70 tahun. Manakala kumpulan kedua yang berisiko tinggi adalah mereka yang berusia antara 71 hingga 80 tahun, melibatkan sebanyak 19 kes kematian atau 19.2 peratus.

Ekoran daripada itu, pihak KKM telah mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi golongan yang berusia 60 tahun dan ke atas. KKM dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memantau rumah kebajikan orang-orang tua dan telah membuat ujian saringan covid-19 secara berfasa ke atas penghuni dan petugas di Rumah Seri Kenangan dan 2 buah Rumah Ehsan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

Ujian saringan akan juga dijalankan di 357 buah pusat jagaan swasta yang berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993, dan 26 buah rumah penjagaan (nursing home) swasta yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Kesihatan Swasta 1998.

Mengenai perlaksanaan penjarakan sosial  dalam kalangan warga tua, beberapa faktor penting harus diambil perhatian. Penjarakan sosial tersebut seharusnya tidak menyebabkan warga emas merasa diri mereka terasing atau dipinggirkan, dan tidak juga menjejaskan mereka untuk mendapatkan sokongan sosial dan kemudahan asas yang lain. Perlaksanaan penjarakan sosial ini pula diharapkan tidak terlalu lama, agar ianya tidak memberi tekanan emosi kepada warga emas.

Keputusan kerajaan melarang warga kota untuk pulang berhari raya Aidilfitri ke kampung halaman masing-masing adalah untuk mengelak penularan virus covid-19 kepada warga tua. Dalam sidang media yang bertarikh 16 Mei 2020, Ketua Pengarah KKM, sekali lagi mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati di musim perayaan ini agar kita tidak terleka dan dengan tidak sengaja menyebabkan jangkitan virus ini kepada golongan warga emas.

Demi menjaga kebajikan golongan warga emas, semua pihak harus berganding bahu dalam menangani wabak ini agar ianya tidak terus menular dan meragut lebih banyak nyawa terutama golongan warga emas.

–Dr. Husna Fauzi, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast