KUALA LUMPUR – Hari kedua sambutan Aidilfitri menyaksikan orang ramai khususnya warga asing memenuhi pusat beli-belah sekitar ibu negara.
Tinjauan MalaysiaGazette di Bukit Bintang mendapati ada segelintir pengunjung tidak mengenakan topeng penutup hidung dan mulut selain melepak di tepi kawasan premis perniagaan.
Dalam masa sama, sebilangan warga kota turut dilihat mengambil kesempatan keluar membeli-belah bagi memanfaatkan cuti umum Aidilfitri mereka.
Selain jumlah kenderaan yang banyak di sepanjang jalan di Bukit Bintang, kesesakan orang ramai jelas berlaku ketika mereka mahu menyeberangi lintasan pejalan kaki sekali gus tidak menghiraukan penjarakan sosial.
Selain itu, terdapat pengunjung yang merakamkan gambar dalam satu kumpulan besar dan situasi itu nyata mengganggu mereka yang mahu melalui kawasan tersebut.
Tidak kurang juga kelibat ibu bapa yang menolak kereta sorong bayi di tengah-tengah kesesakan tersebut.
Bilangan pengunjung yang ramai dalam satu-satu masa di kawasan tumpuan seperti pusat beli-belah jelas dilihat tidak selari dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir pada 9 Jun depan.
–MalaysiaGazette
Mungkin mereka semua sudah kebal dari jangkitan virus