PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah sesekli mengambil pendekatan mendikskriminasi dalam menempatkan anak-anak petugas barisan hadapan di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) akibat Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham berkata sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) anak-anak petugas barisan hadapan tidak pernah disekat daripada dihantar ke Taska.
Tetapi katanya, kanak-kanak itu akan di tempatkan di satu ruang khusus memandangkan mereka dikenalpasti sebagai golongan yang berisiko tinggi terdedah jangkitan Covid-19.
“Barisan hadapan terutamanya yang bekerja di hospital adalah salah satu kumpulan berisiko untuk mendapat jangkitan. Begitu juga dengan ahli keluarga mereka.
“Lagipun garis panduan yang ada juga perlu mengambil kira risiko tersebut maka KKM memberikan perhatian yang khusus kepada isu ini.
“Mungkin perkataan yang kita guna itu seolah-olah nampak seperti mengasingkan anak-anak barisan hadapan, bagaimanapun sebenarnya mereka hanya ditempatkan di satu ruang khas,” katanya pada sidang media harian situasi semasa Covid-19 di sini.
Tambah Noor Hisham, isu diskriminasi dalam kalangan anak-anak barisan hadapan dan anak lain tidak timbul kerana anak-anak barisan hadapan dihantar ke Taska di hospital, yang mana mereka dari kumpulan yang sama.
Beliau berkata risiko hanya wujud sekiranya anak-anak barisan hadapan dihantar ke Taska luar atau swasta.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mensihatkan para petugas barisan hadapanĀ kesihatan sentiasa mematuhi langkah keselamatan dan SOP apabila pulang ke rumah.
“Ia termasuklah jangan selepas pulang ke rumah terus menyentuh anak-anak, sebelum itu sila bersihkan diri sendiri, mandi dan sebagainya sebelum mendekati ahli keluarga termasuk anak.
“Peraturan atau SOP baharu itu masih di peringkat dipersetujui dan dicadangkan tetapi belum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ia akan diperhalusi terlebih dahulu sebelum dilaksanakan, tetapi KKM ingin mengulangi bahawa tiada sebarang diskriminasi dalam memberi rawatan Covid-19 kepada semua pihak sama ada kepada warganegara atau bukan warganegara, dewasa ataupun kanak-kanak,” tegasnya lagi.
Laporan terbaharu mendakwa sekitar 200 pakar pediatrik meminta kerajaan membatalkan ketetapan baru yang didakwa ditambah dalam garis panduan kementerian berkaitan agar anak-anak barisan hadapan kekal di rumah atau ‘diasingkan’ daripada kanak-kanak yang lain di taska.
Justeru peraturan baharu itu didakwa sebagai satu tindakan berupa diskriminasi dan berisiko mengasingkan semua petugas barisan hadapan dan anak-anak mereka.-MalaysiaGazette