KUALA LUMPUR – Umpama mimpi, malah sehingga ke hari ini dia masih lagi sukar menerima hakikat bahawa insan yang bergelar suami dalam hidupnya sejak 37 tahun lalu hilang dalam sekelip mata.
Kehilangan dua bulan lalu itu berlaku tanpa sebarang isyarat, menyebabkan Misniah Midi, 62, masih terpinga-pinga dan belum mampu untuk merawat lara di jiwanya sehinggakan hari-hari yang dilaluinya kini umpama kosong.
Air matanya tumpah dan esakannya sukar dibendung sebaik sahaja sesi pertemuan kami berlangsung. MalaysiaGazette ketika itu dalam misi menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tatkala kami bertanyakan khabar, Misnia menangis meluahkan apa yang terbuku di hati lantaran hari raya tahun ini hadir ketika dia masih lagi dilanda kesedihan dan terkejut selepas suaminya, Allahyarham Ismail Din tiba-tiba tiada.
Mengakui reda dengan pemergian suaminya namun dia berterus-terang bahawa hakikatnya dia umpama memaksa diri menerima takdir yang berlaku.
Hari raya bagi Misniah sudah tidak sama seperti sebelum ini dan jika tidak kerana cucu-cucu tinggal bersamanya di Kampung Muhibbah Sungai Besi, dia tidak akan membuat sebarang persiapan jauh sekali mahu menyediakan juadah hari raya.
“Tiba-tiba tidak sampai dua jam, arwah tinggalkan saya dan sampai hari ini saya macam tidak boleh terima.
“Saya reda tapi macam terpaksa. Saya menangis siang dan malam. Kalau tidak kerana cucu, saya tidak masak,” katanya menahan sebak.
Ibu kepada tiga anak itu ditemui pada program Jelajah Ramadan MalaysiaGazette di kawasan setinggan Kampung Muhibbah di sini hari ini.
Misniah memberitahu, Ismail yang sebelum pemandu teksi meninggal dunia dua bulan lalu secara mengejut. Allahyarham yang tiba-tiba rebah dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia dua jam selepas itu.
Apa yang meruntun jiwanya, dia tidak dapat melawat puasa arwah pada pagi Aidilfitri yang dikebumikan di Shah Alam, Selangor.
“Terima kasih kerana memberi sumbangan. Kalau arwah suami ada, mesti dia yang paling seronok untuk sambut Hari Raya.
“Itu yang buat saya bertambah sedih apatah lagi saya tidak dapat melawat pusaranya nanti,” katanya yang rutin harian hanya menjaga cucu dan diberi wang bulanan oleh anak-anak.
Sementara itu, sempena program agihan sumbangan Aidilfitri, Misniah dan keluarga menerima barangan dapur antaranya daging ayam, cili kering, santan, bawang, beras nasi himpit, kordial, minyak masak dan juga duit raya.
Turut diterimanya adalah telekung wakaf sumbangan D’or Rue Sdn. Bhd. menerusi Projek Telekung Wakaf Siti Aishah.
Sumbangan yang disampaikan oleh Ketua Pengarang MalaysiaGazette, Noraini Abd Razak melibatkan 14 keluarga yang tidak bernasib baik. – MalaysiaGazette
Sy pon bersedih makcik kehilangan org yg kita sayang suboh waktu arwah ustaz ismail kamus juga pergi….Tapi tak ada hukum kata hari raya aidilfitri kena melawat kubur..bila2 saja boleh nak pergi selagi mahu.Jangan memberatkan jiwa ngan sesuatu tak landaskan sunah n al quran.ingat,iblis sentiasa melayani lara,itu dia paling suka.Jangan sesatkan fikiran ngan sesuatu yg lara,media pon suka benda2 lara begini,memudahkan keje iblis.
Salam aidilfitri,maaf zahir n batin makcik..