Polis sedang memburu dua suspek yang masih bebas dalam jenayah kecurian kenderaan iaitu Cakoi dan Guna selepas suspek pertama bernama Ruben berjaya ditangkap dan sebuah lori dirampas dari suspek oleh Polis PJ.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua individu dengan gelaran Cakoi dan Guna yang dikehendaki dalam kes curi kenderaan di sekitar Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Nik Faisal berkata, kedua dua suspek masih bebas.

Katanya, hasil soal siasat terhadap suspek pertama dikenali sebagai Ruben yang ditangkap pasukan polis Petaling Jaya pada 22 Mei lalu membawa kepada rampasan sebuah lori jenis Daihatsu yang dilaporkan hilang pada 17 Disember tahun lalu.

Serbuan dan tangkapan itu dilakukan di sebuah taman perumahan di Sungai Buloh selepas ditunjukkan Ruben.

“Malah suspek turut mendedahkan dia telah melakukan kegiatan curi kenderaan itu bersama dua lagi rakannya yang masih bebas di luar iaitu Cakoi dan Guna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ekoran pengakuan itu, polis telah melancarkan operasi pencarian dua suspek itu.

“Kami sedang memburu dua suspek itu yang sangat dikehendaki dalam membantu siasatan kes kecurian kenderaan ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan Cakoi dan Guna mohon tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Muhammad Dhiauddin Elias di talian 014-2219935,” ujarnya.

Dua pemuda berusia 20 tahun ditahan bersama dua motosikal disyaki dicuri dalam rondaan petang tadi.:Foto Ihsan: IPD Petaling Jaya

Sementara itu, Nik Ezanee berkata, polis telah menahan dua pemuda berusia 20 tahun yang sedang menunda dua motosikal jenis Yamaha LC135 dan Yamaha Y15ZR.

Kata beliau, kejadian berlaku pada jam 4.30 petang 26 Mei lalu ketika kereta peronda polis MPV sedang melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan PJS 8/9, Petaling Jaya.

“Pihak polis telah melihat dua lelaki menaiki jenis motosikal Yamaha Y15ZR dalam keadaan mencurigakan dan sedang menunda motosikal jenis Yamaha LC135.

“Semasa polis turun membuat pemeriksaan, kedua-dua lelaki itu telah cuba melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan semasa proses tangkapan dibuat.

“Hasil semakan nombor pendaftaran motosikal Yamaha Y15ZR mendapati menggunakan nombor plat pendaftaran palsu yang didaftarkan di atas motokar jenis Honda Civic 1.8 putih manakala semakan motosikal Yamaha LC135 tersebut masih dilaporkan hilang bersabit laporan Sungai Wey.

“Kedua-dua suspek direman empat hari untuk disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast