Orang ramai kelihatan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul bersama rakan-rakan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Golongan kanak-kanak antara mereka yang berisiko tinggi dijangkiti wabak Covid-19, selain daripada warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik termasuk penyakit tiga serangkai.

Walaupun kerajaan banyak kali menasihatkan ibu bapa agar tidak membawa kanak-kanak ke tempat awam, namun peringatan itu tidak diendahkan orang ramai, meskipun mereka bakal berdepan tindakan tegas.

Tinjauan MalaysiaGazette sekitar kawasan Bukit Bintang hari ini mendapati bukan sahaja kanak-kanak berusia lebih lima tahun, bahkan ada ibu bapa membawa bayi yang berusia kurang dua tahun ke pusat beli-belah.

Kelihatan ibu bapa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan membawa anak kecil mereka keluar di tempat tumpuan ramai sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 MEI 2020

Bukan sahaja anak-anak mereka terdedah kepada jangkitan virus Covid-19, ada di antara anak-anak kecil ini tidak memakai topeng hidung dan mulut ketika dibawa bersiar-siar tempat awam.

Meskipun situasi pandemik itu semakin terkawal, namun ia tidak bermakna Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu diabaikan.

Malah ketika jurugambar MalaysiaGazette mengetik wajah mereka bersama anak-anak di tempat tumpuan awam, ada di antara mereka melambai-lambai ke arah kami, seolah-olah tiada rasa serba salah.

Lebih malang lagi apabila pihak keselamatan dan kakitangan premis perniagaan kelihatan seolah-olah tidak menghalang ibu bapa membawa anak-anak mereka dengan bebas keluar dan masuk ke pusat beli-belah terkemuka di sepanjang Jalan Bukit Bintang.

Kelihatan ibu bapa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan membawa anak kecil mereka keluar di tempat tumpuan ramai sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 MEI 2020

Pada 18 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ibu bapa atau penjaga mungkin berdepan tindakan lebih keras jika membawa kanak-kanak ke tempat awam atau ke hospital tanpa temujanji.

Menurutnya, ketika ini KKM dan MKN masih menjalankan kaedah menasihati ibu bapa supaya tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast