KUALA LUMPUR –  Selepas secara konsisten merekodkan angka dua digit positif Covid-19 sejak beberapa minggu lalu, semalam negara dikejutkan dengan 172 kes positif secara mendadak.

Hari ini kes posotif Covid-19 melonjak kepada 187 kes.

Ia tidak termasuk statistik yang akan dimaklumkan oleh kerajaan tentang sikap rakyat Malaysia ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk cubaan merentas negeri untuk balik berhari raya.

Kini terdapat dalam kalangan masyarakat seolah-olah sudah tidak peduli, tidak kisah dan tidak bimbang tentang penularan pandemik Covid-19, sebaliknya semakin ‘selesa’ dengan kembali dengan kehidupan sebelum ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa premis di sekitar Kuala Lumpur yang kebanyakan kedai makan, kafe dan restoran sudah mula rancak berniaga.

Malah kebanyakan premis sudah mula menerima pelanggan untuk duduk makan di kedai mereka sejak dua tiga minggu lepas, namun kini keadaan ini lebih ramai pelanggan selepas berlalu bulan Ramadan.

Namun apa yang mengecewakan ialah sikap pemilik premis serta para pekerjanya yang dilihat tidak begitu endah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 disediakan kerajaan sebelum memulakan perniagaan mereka.

Kebanyakan mereka sudah ‘liat’ untuk memeriksa suhu badan atau menyemak pelanggan yang hadir menulis maklumat berkaitan sebelum masuk ke kedai mereka.

Daripada hampir tujuh kedai yang dilawati MalaysiaGazette, hanya satu sahaja mematuhi peraturan itu, manakala yang lain-lain hanya sekadar meletakan ‘buku log’ di pintu masuk tanpa pengawasan langsung.

Lebih mengecewakan ada pelanggan yang masuk ke premis menulis maklumat diri dengan tulisan cakar ayam yang tidak jelas untuk dibaca.

Malah ada juga individu yang menulis nama-nama pelik dan pastinya bukan nama sebenar juga nombor telefon seperti tidak lengkap.

Bagaimanapun, tindak tanduk itu tidak pula diawasi oleh pekerja restoran.

Bagi ruangan suhu badan, kebanyakan ini tidak mengisinya, mungkin satu dua baris sahaja.

Cecair yang digunakan untuk membasmi kuman pada tangan juga ada yang telah habis dan langsung tidak disedari kerana sibuk melayan pelanggan.

Mungkin sudah tiba masa pihak berwajib menilai semula kelonggaran yang diberikan kerana ketika ini kebanyakan mereka sudah tidak ambil pusing.

Pada mereka, Covid-19 ini sudah tidak bahaya, cukup sekadar menggunakan penutup muka dan mencuci tangan.

Bagi kedai makan dan kafe pula, janji pelanggan penuh sudah cukup, yang lain-lain tidak perlu diberi perhatian.

Mungkin juga kerana tidak ada pihak berkuasa tampil melakukan pemeriksaan mengejut menyebabkan rata-rata mereka juga tidak lagi perlu mematuhi peraturan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Jgn dibiarkan , ambil tindakan tutup premis tu 14 hari dan kompaun ..menyusahkan kerajaan dan petugas kesihatan sahaja . Mereka untung tp bila pelanggan sakit sapa yang susah .

Comments are closed.