Shahaniza Shamsudin

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) di Pahang didakwa melakukan perang psikologi menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini apabila ADUN Semambu Lee Chean Chung mendesak kerajaan negeri itu melanjutkan cukai tanah untuk tiga bulan hingga 31 Ogos ini bagi meringankan beban rakyat.

Bagaimanapun PH yang semakin terdesak itu didakwa ‘tertinggal bas’ dan mencari publisiti murah kerana Kerajaan Negeri Pahang terlebih dahulu membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah di Negeri Pahang sehingga 31 Julai ini.

Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mendakwa Lee memang gilakan publisiti kononnya dengan gesaan beliau maka kerajaan negeri akur untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah, walhal keputusan melanjutkan bayaran cukai tanah telah dibuat sebelum beliau mengeluarkan gesaan.

”Lee Chean Chung perlu menggunakan taktik lain bagi mengaburi mata rakyat Pahang untuk mendapat sokongan politik dan bukan dengan cuba meraih publisiti murahan.

”ADUN Semambu masih menggunakan taktik lapok dengan ‘claim credit’ di atas hasil usaha orang lain mencerminkan ketandusan idea dan kreativiti meneruskan agenda politik Pakatan Harapan yang semakin hari ditolak oleh rakyat Pahang,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Pahang amat prihatin dengan permasalahan rakyat yang terkesan akibak wabak Covid 19 dengan pengagihan bantuan berjumlah RM 25 juta telah diagihkan dalam pelbagai bentuk dan tidak terkecuali bagi golongan peniaga yang turut terjejas.

Menyedari kesulitan yang dihadapi maka Majlis Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pahang telah melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah sehingga 31 Julai 2020 yang sepatutnya di bayar pada 31 Mei lalu.

Kerajaan Pahang juga mengumumkan pengurangan kadar cukai tanah bagi kategori industri sebanyak 80 peratus manakala bagi daerah Kecil Gebeng, kadar cukai tanah perindustrian selepas remisyen ialah RM1 berbanding RM5 semeter persegi sebelum ini manakala cukai di daerah Kecil Genting Highlands menjadi 80 sen berbanding RM4 semeter persegi sebelum ini.

Keputusan ini jelas menunjukkan Kerajaan Negeri Pahang akan sentiasa mengkaji kesesuaian dan kedudukan kewangan, yang mana sistem percukaian yang mampan akan menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat termasuk mesra kepada golongan peniaga kerana hasil cukai tanah akan di pulangkan kembali kepada rakyat dalam pelbagai bentuk samada kebajikan rakyat mahupun pembangunan infrastruktur.

Shahaniza berkata, wakil rakyat Pakatan Harapan Pahang cuba memainkan isu kenaikan cukai seolah-olah Kerajaan Pakatan di negeri yang mereka tadbir tidak menaikkan cukai tanah.

”Lebih parah Kerajaan Pakatan Harapan di Selangor telah menaikkan cukai tanah pangsapuri di Selangor di antara 500% dan 800%.

”Lebih menyedihkan 20 peratus mereka yang menghuni pangsapuri di Selangor adalah pesara kerajaan yang pada kebiasaannya membayar RM34 kini terpaksa membayar RM 292,” katanya.

Bukanlah sesuatu janggal bila Kerajaan Negeri Pahang menaikkan cukai tanah terutama kepada golongan peniaga dan perindustrian memandangkan cukai tanah kawasan perniagaan dan perindustrian sudah lama tidak dinaikkan serta sesuai dengan masa.

Selama ini mereka menikmati keuntungan yang berganda sedangkan kerajaan negeri mendapat cukai yang sangat minimum.

Sekurang kurangnya kerajaan negeri tidak menaikkan cukai tanah yang diduduki rakyat marhaen berbanding Kerajaan Pakatan Harapan Selangor yang mencekik darah rakyat marhaen.

”Jadi eloklah ADUN Semambu Lee Chean Chung memberikan nasihat kepada Kerajaan Pakatan Harapan Selangor berbanding mencari publisiti murahan berkaitan kenaikan cukai di Pahang. Kata orang tua seperti ayam jantan berkokok berderai derai, ekor bergelumang tahi. Busuk.,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sepatutnya semua kerajaan negeri mengecualikan cukai tanah dan cukai pintu sewaktu tempoh pkp. Ini lebih baik. Rakyat patut mengundi kpd parti yg berani melakukan tindakan yg memberi kemudahan dan kebaikan akibat pandemik sekarang. Kerajaan tidak perlu risau kerana kerajaan negeri masing masing banyak dana yg tidak dibelanjakan spt kerajaan federal.

Comments are closed.