Anggota polis melakukan rondaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 MEI 2020

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed

Tindakan segelintir anggota masyarakat yang suka mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan termasuk kesat dan memaki hamun anggota penguatkuasa seperti polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menjalankan tugas tidak sepatutnya berlaku. Apa yang dikesali ialah, sudahlah mereka melakukan pelbagai kesalahan, boleh pula bertindak biadab terhadap penjawat awam yang cuba menegakkan undang-undang dan menguatkuasakan peraturan.Mere

Antara beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku ialah, tindakan biadab dua lelaki yang memaki hamun anggota polis yang menahan mereka selepas didapati membawa dua paket dadah di Gombak bar-baru ini. Sebelum itu, di Perlis seorang
lelaki turut mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun pegawai polis ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya. Malah seorang wanita juga pernah ditahan sebelum ini kerana menjerit dan memaki anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya di Petaling Jaya. Ironiya ini bukanlah antara insiden baru yang berlaku di negara kita, sebaliknya sudah banyak kali didedahkan dengan tindakan biadab segelintir anggota masyarakat yang bukan saja melakukan pelbagai kesalahan termasuk jenayah berat

tetapi turut memaki hamun pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas. Malah pernah ada kes anggota penguatkuasa PBT dipukul sehingga cedera dan dihalang ketika hendak menjalankan tugas mereka. Maka timbul persoalan apakah anggota masyarakat masih tidak memahami tugas dan tanggungjawab anggota penguatkuasa seperti ini atau buat-buat tidak faham?

Hakikatnya anggota penguatkuasa ini hanya menjalankan tugas dengan penuh dedikasi serta memikul amanah yang telah dipertanggungjawabkan di bahu mereka sebaik mungkin dengan adil dan saksama. Mereka diberi kuasa untuk menegakkan
undang-undang demi kebaikan, kemudahan dan kesejahteraan anggota masyarakat secara keseluruhannya. Justeru, sedarlah tindakan kurang cerdik dek kerana gagal mengawal perasaan boleh mengeruhkan lagi keadaan. Misalnya, kita bukan saja
akan dicaj atas kesalahan yang telah dilakukan malah boleh dicaj menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan kata-kata kesat atau mencederakan penjawat awam.

Oleh itu masyarakat perlu sedar tentang kepentingan untuk menghormati dan menghargai tugas anggota penguat kuasa. Jangan lupa betapa mereka sanggup redah hujan dan panas serta mengambil pelbagai risiko termasuk menggadaikan nyawa mereka demi kepentingan orang ramai. Justeru berlaku biadab kepada penguatkuasa seperti ini amatlah tidak wajar sama sekali apatah lagi cuba mengaibkan mereka di khalayak ramai.

Cuba bayangkan apa akan terjadi jika tidak ada anggota penguat kuasa seperti polis dan PBT. Misalnya, masyarakat akan takut untuk keluar rumah kerana penjenayah akan bermaharajalela, kadar kemalangan kerana kesalahan trafik akan terus meningkat, serta golongan yang ingkar perintah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga pastinya akan meningkat dan mencetuskan banyak lagi kluster baru wabak Covid-19. Apakah ini situasi yang kita mahukan? Tepuk dada dan tanya minda
masing-masing.

Harus diingat, anggota penguatkuasa juga adalah manusia biasa seperti kita yang mempunyai hati dan perasaan. Tatkala mereka sedang melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, janganlah ada lagi yang bersikap biadab dengan mereka mahupun cuba menghalang tugas mereka. Kita khuatir tindakan seperti ini bukan
saja akan mengeruhkan lagi keadaan malah boleh melemahkan semangat dan motivasi anggota penguat kuasa yang lain.

Justeru kita tidak boleh membiarkan sikap biadab terhadap penguat kuasa atau mana-mana kelompok penjawat awam lain berlaku lagi. Oleh itu demi menjaga kepentingan dan motivasi para penjawat awam secara keseluruhannya, kita berharap
pihak kerajaan dapat menyemak semula hukuman yang sedia ada supaya mana-mana individu yang cuba menghalang tugas penjawat awam atau cuba mencederakan penjawat awam, serta mengaibkan dengan apa jua cara sekalipun termasuk mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun dijatuhkan hukuman yang cukup setimpal. Biar ianya menjadi pengajaran kepada seluruh anggota masyarakat agar sentiasa menghormati tugas penjawat awam.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia