PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan agar terus mengamalkan pendekatan 3W dan mengelakkan 3S atau 3C sebagai kelaziman baharu dalam kehidupan seharian bagi mengawal penularan Covid-19.
Pesanan itu disampaikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Konsep 3W merangkumi sifat iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lebih berkonsep peringatan (warn).
Beliau berkata, peringatan itu juga termasuk mengelak daripada bersalaman dan bersentuhan, mengamalkan etika batuk dan bersin, mendapatkan rawatan segera jika bergejala dan duduk di rumah serta elakkan amalan kunjung-mengunjung.
“Elakkan 3S dan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).
“Selain itu, ingatlah kepada S.O.P. S ialah syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). O pula orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi.
“Individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan. P pula penjarakan sosial diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya satu meter,” katanya pada sidang media hari ini.
Noor Hisham berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa jangkitan wabak itu di dalam dan luar negara melalui maklumat diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Justeru kata beliau, orang ramai akan sentiasa dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan terkini berhubung perkara berkenaan.
“KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya akan dilaksanakan secara berterusan,” tegasnya. – MalaysiaGazette