Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Hanya 20 peratus pengusaha dalam pembinaan telah menyambung semula operasi kerana sektor itu banyak bergantung kepada pekerja asing.

Presiden Master Builders Association Malaysia, Foo Chek Lee berkata, setakat ini banyak pekerja asing sektor itu masih menunggu giliran untuk saringan COVID-19 atau menunggu keputusannya sebelum memulakan tugas.

Beliau berkata, walaupun kerajaan mewajibkan saringan itu, tetapi pelbagai pihak berkepentingan mengadu bawa proses itu mengambil masa kerana membabitkan pekerja asing yang ramai.

“Jumlah pekerja yang diperlukan sektor pembinaan adalah sebanyak 1.2 juta orang.

“Daripada jumlah ini, antara 800,000 hingga sejuta orang adalah pekerja asing, tetapi ramai mereka masih menunggu giliran saringan atau menunggu keputusannya.

“Disebabkan musim perayaan dan cuti Aidilfitri, masa menunggu bertambah panjang dan banyak tapak tidak boleh memulakan operasi,” katanya kepada China Press.

Chek Lee berkata, gaji pekerja asing tidaklah rendah iaitu RM80 hingga RM120 sehari atau melebihi RM2,000 sebulan.

“Pekerjaan ini bagaimanapun tidak diminati orang tempatan kerana ia merupakan tugas 3D yang dianggap  kotor, bahaya dan susah,” katanya.

Menurutnya, keadaan juga bertambah keruh apabila terdapat pekerja asing yang hilang kerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mereka telah melarikan diri.

“Pengusaha justeru perlu mencari balik pekerja yang sudah lari atau mendapat pekerja baharu,” katanya.

Tambahnya, sesetengah pengusaha juga berdepan masalah tunai dan modal untuk memulakan semula projek.

“Ada pengusaha sudah melakukan persiapan sambung projek termasuk memeriksa jentera yang ada, tetapi ada juga pengusaha yang masih tunggu dan lihat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Syarikat besar2 takut la nak keja sbb kena tanggung kos.
    Yang toke2 pati haram ni kerja macam biasa jer kalah makin gelak. Buang harga sampai kontraktor tempatan tak boleh cari makan..
    Janji dapat kerja guna brg murah n ada untung.
    Mane peduli syarat KKM, PKP, permit majlis, spec..balun jer.
    Salah siapa kalau bukan rakyat kita yg nak murah..Salah siapa kalau majlis tutup mata

Comments are closed.