KUALA LUMPUR – Tiga pertandingan bola sepak di bawah kelolaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL), bagi musim 2020 dibatalkan, berkuatkuasa serta merta.
Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, sebagai badan induk bola sepak negara, pihaknya mahu memastikan aktiviti dan pertandingan bola sepak dan futsal di peringkat kebangsaan dapat diteruskan semula dengan selamat selepas ia ditangguhkan pada 16 Mac lalu berikutan penularan pandemik Covid-19.
“Bagaimanapun, seperti yang semua sedia maklum, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah bermula pada 18 Mac 2020 kini masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.
“Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan, bola sepak telah dikategorikan sebagai sukan bersentuhan yang dilarang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia hanya boleh dijalankan sebagai aktiviti riadah dengan penjarakan sosial satu meter dan tidak melebihi 10 individu tetapi sebarang penganjuran perlawanan atau pertandingan masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini.
“Sementara bagi futsal pula selain daripada boleh dikategorikan sebagai sukan bersentuhan, ia turut tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini kerana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor) adalah termasuk dalam senarai aktiviti sukan yang dilarang oleh MKN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Stuart, selepas meneliti garis panduan berkenaan untuk meneruskan penganjuran tiga kejohanan bola sepak itu, keutamaan perlu diberikan terhadap aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan semua individu yang perlu hadir ke lokasi latihan dan perlawanan adalah terjamin.
Tambah beliau, terdapat pasukan Piala Presiden dan Piala Belia menggunakan padang terbuka sebagai venue selaku tuan rumah, menyebabkan kesukaran untuk mengawal pematuhan SOP penganjuran perlawanan.
Katanya, bagi pertandingan MPFL yang mana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup dilarang oleh MKN.
“Tanpa kepastian sama ada tempoh PKPB akan berakhir pada 9 Jun 2020 atau terus dilanjutkan, FAM terpaksa membuat keputusan sekarang dan tidak boleh menunggu atau menangguhkan lagi keputusan ini kerana ia hanya akan menjejaskan kedudukan para pemegang taruh yang terlibat.
“Keputusan ini dibuat selepas FAM melakukan kajian, penelitian dan siri perbincangan dalaman, selain memperhalusi garis panduan dan SOP serta nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan terutama berkaitan penganjuran perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia di padang terbuka serta larangan aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor) yang mana ia melibatkan perlawanan MPFL.
“Oleh yang demikian, setelah mengambil kira hal-hal pengoperasian dan kebajikan semua pemegang taruh industri bola sepak dan futsal, FAM dengan berat hati membuat keputusan untuk membatalkan terus pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL bagi musim 2020 ini berkuat kuasa serta-merta hari ini,”ujarnya.
Mednurut Stuart, keputusan pembatalan ketiga-tiga pertandingan ini dibuat berdasarkan Artikel 3 Peraturan Pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2020 serta Artikel 2 Peraturan Pertandingan MPFL 2020.
Menyentuh mengenai pemain Piala Presiden dan Piala Belia, beliau memberitahu, FAM dan Malaysian Football League (MFL) akan membuka pendaftaran khas untuk mereka yang berpotensi untuk diserapkan ke pasukan utama kelab masing-masing dalam usaha memberi peluang beraksi pada baki saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier 2020.
Jelas Stuart, bagi menjamin kesinambungan kerjaya pemain-pemain yang berusia 21 tahun pada tahun ini,n had umur pertandingan Piala Presiden 2021 akan dinaikan kepada usia 22 tahun.
“Ia sekali gus membolehkan pemain-pemain yang lahir pada tahun 1999 ini masih lagi layak untuk beraksi pada saingan musim depan.
“Lagipun sekiranya kita mahu meneruskan pertandingan MPFL musim ini, venue tertutup juga akan memerlukan kos tinggi untuk memastikan semua SOP keselamatan dan kesihatan yang diperlukan dapat dipatuhi, selain akan menyebabkan kesukaran kepada pasukan tuan rumah untuk menyewa venue yang bersesuaian dan memenuhi kriteria.
“Justeru, dengan keutamaan FAM adalah untuk menjamin kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terlibat terutamanya pemain-pemain muda serta selepas mengambil kira tempoh masa penangguhan pertandingan, kos penganjuran perlawanan dan pengendalian SOP yang tinggi, FAM pada masa ini tiada pilihan selain membatalkan terus ketiga-tiga pertandingan ini, selain ia dapat membantu mencegah penularan pandemik COVID-19.,” ujarnya. – MalaysiaGazette