Penganalisis Kajian Strategik dan Keselamatan Negara, Prof. Madya Dr Mizan Mohammad Aslam.

KUALA LUMPUR –  Lebih 7,000 kapal asing lolos sepanjang masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perairan negara dipercayai berkait dengan jenayah seperti penyeludupan manusia, rokok, senjata api, bekalan makanan bersubsidi selain aktiviti penjualan ikan.

Jumlah itu adalah 80 peratus daripada 9,048 kapal dan bot dalam keadaan mencurigakan diperairan negara yang didedahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) baru-baru ini.

Kira-kira 20 peratus daripada jumlah bot dan kapal berkenaan berjaya dipintas APMM sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 18 Mac hingga 13 Mei lalu.

Penganalisis Kajian Strategik dan Keselamatan Negara, Prof. Madya Dr Mizan Mohammad Aslam berkata, penjenayah khususnya penyeludup manusia menyasarkan laut kerana pintu masuk melalui udara dan darat ditutup serta dikawal ketat pihak berkuasa.

Mengikut data Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), katanya, ribuan pelarian tersangkut di Bay of Bengal (sempadan antara Myanmar dan Bangladesh).

“Laporan itu turut menyebut pelarian Rohingya dan Bangladesh hendak masuk ke Malaysia, ikut laluan laut malah wakil Rohingya memberitahu masih banyak lagi golongannya akan masuk ke negara ini hanya menantikan masa yang sesuai untuk menyusup masuk.

“Selain itu, aktiviti jenayah dan penyeludupan manusia  juga dibimbangi turut membabitkan elemen radikal dan militan melalui Arsa (Arakanese Rohingya Solidarity Army), LTTE, ISIS dan lain-lain.

“Peluang seperti ini boleh diambil oleh ISIS untuk balik ke pangkuan keluarga jika tidak dipantau.

“Manakala pelbagai aktiviti persenjataan juga boleh berlaku dengan jumlah bot dan kapal sebanyak itu,” katanya baru-baru ini.

Tambah Dr Mizan, kejatuhan ekonomi dunia menyebabkan Malaysia menjadi sasaran pelarian untuk mencari pekerjaan dan dengan ada jaminan boleh masuk sahaja sudah mencukupi kepada mereka.

“Kesannya majikan tempatan yang turut terjejas ekonomi cenderung menggantikan tenaga kerja tempatan denga warga asing bagi mengurangkan kos, akan wujud permintaan dan pembekalan manusia menyebabkan isu penyeludupan sukar ditangani,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Mizan memberitahu, kapal-kapal lolos itu berkemungkinan patah balik atau masuk semula pada waktu sesuai, namun anggaran lebih 100 kapal asing mencurigakan di kesan dalam sehari adalah amat menggerunkan.

“Mengikut data radar, ada dua kapal asing bergabung di satu titik berhampiran yang menimbulkan hipotesis aktiviti jenayah berlaku seperti pemindahan manusia, rokok, ikan dan lain-lain dari kapal ke kapal.

“Sumber memaklumkan jika operasi dilakukan salah sebuah kapal memiliki lesen atau permit penangkapan ikan dan sebagainya jadi menyebabkan ia dilepaskan.

“Malah disebabkan desakan hidup dan mahu wang cepat menyebabkan segelintir nelayan menjual ikan hasil tangkapan mereka ditengah laut kepada nelayan asing serta mendapatkan wang tunai segera.

“Pintu masuk menerusi laut amat luas jaraknya dan jika penguatkuasaan tidak dilakukan secara lebih ketat akan membuka ruang dan peluang jenayah berlaku di mana-mana bahagian perairan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut berharap APMM dedahkan berapa ramai anak kapal daripada 2,000 kapal yang dipintas, apa bentuk rampasan yang dibuat dan nilai rampasan.

“Maklumat itu penting untuk kita analisa apa bentuk jenayah dilakukan, rakyat kita juga gerun dan bimbang jika ada kemasukan penyakit termasuk Covid-19 dan anasir militan ke dalam negara.

“Mengikut laporan PBB, banyak kes kesihatan dilaporkan dari kem-kem pelarian Rohingya dan mengejutkan pelarian yang tiba dan ditangkap baru-baru ini positif Covid-19.

“Negara akan kerugian lebih banyak untuk menanggung kos jika Pendatang Asing Tanpa Izin masuk dengan membawa penyakit berjangkit yang menjejaskan kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Buat macam indonesia. Kapal asing masuk perairan negara, benamkan kapal tu dulu.. yg lain cerita balai.

Comments are closed.