Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membelanjakan RM200 juta untuk memberikan diskaun kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah keseluruhan itu RM149 juta untuk diskaun kepada 7.6 juta pengguna elektrik di kediaman manakala selebihnya kepada sektor komersial dan industri.

“Sukacita saya memaklumkan juga bahawa sehingga 28 Mei 2020, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM200 juta untuk memberi diskaun kepada pengguna-pengguna elektrik di Semenanjung di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anuar menyeru kepada semua pengguna yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai mekanisme pengebilan sepanjang tempoh PKP ini boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai bil-bil mereka di Kedai Tenaga di seluruh negara yang dibuka sepenuhnya mulai hari ini, 1hb Jun 2020 selain menghubungi talian TNB Careline 1-300-88-5454 yang beroperasi setiap
hari (8 pagi hingga 5 petang) dan saluran digital Facebook TNB Careline.

Aduan juga ujarnya boleh dibuat terus kepada Suruhanjaya Tenaga melalui Sistem eAduan (https://bit.ly/eaduanST), talian telefon 03-8870 8800 atau e-mel [email protected]

“Saya berharap agar melalui langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh Kementerian saya, Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para pengguna elektrik dalam menghadapi cabaran berikutan penularan wabak Covid 19,” tambahnya.

Terdahulu TNB menerusi sidang media hari ini selain berkata akan memberi kemudahan bayaran ansuran kepada pengguna elektrik di kediaman sehingga Disember nanti untuk bil Mac sehingga Mei, turut memaklumkan sektor industri dan komersial diberi diskaun 15 peratus selain.

Langkah ini diambil sebagai keprihatinan TNB terhadap golongan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac yang lalu untuk membendung pandemik Covid-19.-MalaysiaGazette