Perodua mencatat jualan sebanyak 7,886 kenderaan pada bulan Mei 2020, menjadikan jumlah jualan setakat tahun ini kepada 52,920 unit.-Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perodua mencatat jualan sebanyak 7,886 kenderaan pada bulan Mei 2020, menjadikan jumlah jualan setakat tahun ini kepada 52,920 unit.

Berdasarkan jumlah keseluruhan industri setakat tahun ini yang dianggarkan 129,401 unit dengan Perodua menguasai 41%.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Covid-19 yang masih berlangsung ini telah memberi kesan yang ketara terhadap jualan kenderaan di Malaysia selama dua bulan.

”Namun kami bersyukur kerana dalam tempoh hanya tiga minggu sejak kami kembali beroperasi di seluruh negara, kami berjaya mendekati angka jualan Mac kami pra-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata beliau.

Jualan Mei terdiri daripada 2,612 untuk Myvi, 2,028 (Axia), 1,820 (Bezza), 950 (Aruz) dan 476 (Alza).

Perodua berjaya menjual 8,601 kenderaan dalam bulan Mac sebelum PKP berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

”“Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami yang dihargai atas kesetiaan dan sokongan mereka. Kami akan memastikan semua keperluan serta kehendak permotoran anda dapat dipenuhi dengan selamat dan segera.

”Kami yakin dapat memenuhi permintaan anda dalam masa yang terdekat,” tambahnya.

Sepanjang Jun ini, kempen Sambutan Bermakna Perodua menawarkan penebusan tunai khas sehingga RM1,300 untuk Aruz dan varian Myvi terpilih, sementara pembeli model lain akan mendapat e-baucar RM300 yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di mana-mana pusat servis Perodua yang sah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast