KOCHI – Seekor gajah mengandung mati selepas memakan buah-buahan yang mengandungi mercun dan meletup di dalam mulutnya.
Kejadian itu menimbulkan kemarahan orang ramai di media sosial setelah seorang pegawai perhutanan, Mohan Krishnan, mengemukakan permintaan maaf yang penuh emosi kepada gajah berkenaan pada Sabtu lalu.
Krishnan memaklumkan haiwan itu mati akibat memakan nanas dan buah-buahan lain yang diisi mercun di dalamnya.
Satu siasatan jenayah telah dijalankan.
Pegawai perhutanan itu memaklumkan kejadian itu berlaku pada 23 Mei di daerah Palakkad, Kerala berhampiran kawasan ladang, yang mana penduduk tempatan sering kali meletakkan mercun di dalam buah-buahan untuk mengelak tanaman dirosakkan oleh haiwan-haiwan.
“Kami hanya tahu gajah cedera disebabkan bahan letupan,” kata pegawai perhutanan Sunil Kumar.
Individu yang menyebabkan kematian gajah itu bakal menghadapi tuduhan kekejaman haiwan yang boleh membawa denda atau hukuman penjara.
India mempunyai populasi gajah Asia terbesar di dunia tetapi diklasifikasikan sebagai spesis terancam.
Kejadian konflik manusia-haiwan sering berlaku kerana gajah sering tersasar ke perkampungan manusia untuk mencari makanan.
Gajah yang mengandung itu telah mengembara keluar dari Taman Nasional Silent Valley untuk mencari makanan ketika kejadian itu berlaku, kata pegawai perhutanan.
Mereka kemudian mendapati gajah itu berusaha menyejukkan dirinya di sebuah sungai.
Penduduk dikatakan berusaha mengeluarkannya dari sungai untuk membawanya ke pusat rawatan namun tidak sempat kerana ia sudah mati.
“Maaf saudari,” kata Krishnan menerusi Facebook.
Beliau menyaksikan kematian gajah itu.
“Dengan mulut dan lidahnya hancur dalam letupan itu, ia mundar-mandir kelaparan tanpa dapat makan. Dia pasti lebih bimbang tentang kesihatan anak di dalam dirinya daripada kelaparannya sendiri,” tulis Krishnan. – MalaysiaGazette