LONDON – Tottenham Hotspur hari ini mengesahkan satu kes positif Covid-19 melibatkan seorang individu dari kelab itu.
Keputusan itu diperoleh dalam saringan terbaharu pandemik virus yang dilaksanakan oleh Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas pemain dan kakitangan setiap kelab.
Kini individu itu dikatakan dikuarantin diri selama tujuh hari, namun kelab tidak mendedahkan identiti sama ada kes itu adalah pemain ataupun kakitangan kelab.
“Disebabkan kesulitan perubatan, nama individu itu tidak akan didedahkan kepada umum,” kata kelab itu dalam kenyataan di laman rasminya.
Dalam ujian saringan terbaharu itu, ia adalah satu-satunya kes positif selepas 1,197 pemain dan kakitangan dilibatkan dalam ujian itu.
Ujian saringan virus itu dilaksanakan dama lima fasa dan jumlah positif setakat ini adalah 13 kes menerusi 5,079 ujian saringan.
Kini para pemain dan kakitangan setiap kelab di EPL disaringan dua kali seminggu menjelang aksi liga pada 17 Jun ini.- MalaysiaGazette