PETALING JAYA – Seramai 12 individu warga tempatan termasuk sembilan wanita ditahan atas kesalahan terlbat perjudian mahjong.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, 11 daripada suspek tersebut adalah warga emas berusia 57 tahun ke atas.
Katanya, bertindak atas maklumat pasukan polis dari Petaling Jaya telah melakukan serbuan di sebuah premis di Jalan SS2/4, Petaling Jaya pada 3 Jun lalu.
“Dalam serbuan sekitar 12.55 tengahari, polis berjaya menahan seorang wanita warga tempatan dipercayai penyewa premis itu berusia 83 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis polis berjaya menahan sembilan wanita dan tiga lelaki warganegara tempatan yang disyaki sebagai pemain judi mahjong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kesemua suspek berusia antara 47 hingga 83 tahun ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan polis ke atas kesemua suspek untuk tindakan susulan berlunaskan undang-undang.
“Polis turut berjaya merampas pelbagai jenis peralatan permainan yang disyaki digunakan untuk perjudian Mahjong.
“Kesemua peralatan itu dan wang tunai RM8,750 berjaya dirampas daripada mereka,” tegasnya.- MalaysiaGazette