KUALA LUMPUR – Kerajaan melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) bertemakan Bersama Menjana Ekonomi bernilai RM35 bilion hari ini.
Berpaksi kepada tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah tersebut RM10 bilion adalah suntikan langsung daripada kerajaan.
Ini merangkumi peruntukan sebanyak RM5 bilion bagi memperluaskan program subsidi upah yang akan dilanjutkan selama tiga bulan lagi.
Jelasnya, subsidi upah itu ditetapkan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksima 200 pekerja bagi setiap syarikat.
“Sejak diperkenalkan dalam Pakej Prihatin dan Prihatin PKS Tambahan, program subsidi upah telah disambut baik oleh pekerja dan majikan.
“Program selama tiga bulan ini berjaya menyelamatkan 2.2 juta pekerjaan,” katanya semasa membentangkan Penjana hari ini.
Bagi menggalakkan pengambilan pekerja, kerajaan memberikan insentif sebanyak RM1.5 bilion kepada majikan yang menawarkan pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia.
Dianggarkan 300,000 pencari kerja akan mendapat manfaat melalui dua insentif yang mana majikan yang menggaji pekerja berumur di bawah 40 tahun akan menerima insentif sebanyak RM800 sebulan untuk setiap pekerja.
Manakala bagi pekerja berusia 40 tahun ke atas dan golongan OKU, insentif sebanyak RM1,000 sebulan akan diberikan.
Insentif-insentif tersebut akan berjalan selama enam bulan.
Selain itu, kerajaan melalui Penjana juga memberi tumpuan untuk membantu penganggur meningkatkan kemahiran latihan dan kebolehpasaran masing-masing menerusi pelbagai insentif menerusi agensi-agensi berkaitan.
Pelan ekonomi ketiga susulan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia sejak akhir Disember lalu, dilihat agak komprehensif yang mana mencakupi semua aspek bantuan kepada golongan dan sektor yang terjejas dan berisiko.
Muhyiddin juga turut mengumumkan, sebuah dasar menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan sektor tersebut akan dirangka.
Kerajaan juga katanya, prihatin terhadap keselamatan sosial serta kebajikan golongan tersebut dan telah memperuntukkan RM75 juta untuk dua langkah dalam membantu mereka.
Ini termasuk geran berjumlah RM50 juta dalam bentuk dana padanan bagi platform ekonomi gig yang mencarum pekerja di bawah Skim Bencana Pekerjaan Perkeso dan Skim i-Saraan KWSP.- MalaysiaGazette