KUALA LUMPUR – Pengerusi Pertubuhan Malaysian Crime Watch (MyWatch), Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membuat penghantaran palsu terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) di media sosial.
Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan minta dibicarakan.
Bagi pertuduhan pertama, Sanjeevan pada 18 Mac didakwa menggunakan akaun laman sosialnya membuat penghantaran palsu terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada pada 16 Mei beliau sekali lagi membuat penghantaran palsu terhadap polis, namun kali itu menggunakan akaun @My_CrimeWatch.
Sanjeevan yang dituduh di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) didakwa dengan sengaja dan sedar bertindak demikian dalam masa sama berniat menganiaya orang lain.
Sekiranya bersalah beliau boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Malah mahkamah boleh mengarahkannya membayar RM1,000 setiap hari sekiranya kesalahan yang sama diteruskan selepas pensabitan.
Hakim Ahmad Kamar Jamaludin kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 untuk setiap satu pertuduhan dengan seorang penjamin.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A. Aziz memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM20,000 bagi setiap satu pertuduhan selain memohon ‘gag order’ agar Sanjeevan tidak lagi membuat penghantaran menjelikkan PDRM di media sosial sehingga disabitkan kesalahan.
Tarikh sebutan kes adalah 23 Julai 2020. – MalaysiaGazette